Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang baharu, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin

KUALA LUMPUR – Penghakiman berbeza oleh Ketua Hakim Sabah dan Sarawak, Datuk Abdul Rahman Sebli yang mempengerusikan panel lima hakim dalam semakan kehakiman kes SRC International Sdn. Bhd. hari ini telah menimbulkan persoalan.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang baharu, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin berkata, ini kerana secara jelasnya, Abdul Rahman selaku hakim paling kanan dalam panel tersebut telah menentang kuat keputusan empat hakim lain.

Ketua UMNO Bahagian Maran berkata, beliau yang berada di mahkamah hari ini dan mendengar penghakiman itu percaya apa yang diputuskan oleh Abdul Rahman bahawa Datuk Seri Najib Razak perlu diberikan keadilan yang sepenuhnya.

“Secara peribadi saya sangat rasa dukacita dengan keputusan dibuat, kebetulan tadi saya berada di mahkamah dan dengar sendiri panel-panel hakim beri keputusan mereka.

“Bagaimanapun saya hairan juga di mana Presiden Panel Hakim, Datuk Abdul Rahman yang terakhir beri keputusan di mana strongly oppose beliau secara jelas tidak bersetuju dengan keempat hakim terdahulu.

“Saya mendengar sendiri keputusan tesebut bahawa apa yang diputuskan hakim sangat kuat secara keseluruhannya perlu ada keadilan.

“Jadi berharap kes ini didalami sekali lagi dan Najib diberi keadilan sebenarnya yang dikatakan Hakim Abdul Rahman,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini hari ini.

Mahkamah Persekutuan hari ini menolak permohonan Najib untuk menyemak semula keputusan mahkamah tertinggi negara sebelum ini yang mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda kerana menyeleweng RM42 juta dana SRC International.

Lima panel hakim yang bersidang membabitkan Abdul Rahman bersama Datuk Vernon Ong Lam Kiat, Datuk Rhodzariah Bujang serta Datuk Nordin Hassan termasuk Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Abu Bakar Jais.menolak semakan tersebut dengan keputusan 4-1.

Daripada lima panel hakim, empat hakim tersebut menolak permohonan semakan manakala Abdul Rahman menyokong semakan dilakukan.

Mengulas lanjut, Shahaniza menambah, walaupun keputusan majoriti 4-1 dibuat mahkamah, beliau yakin kepimpinan UMNO tidak akan berdiam diri dengan nasib yang menimpa Najib.

Mengakui tidak pernah sesekali melupakan bekas Presiden UMNO dan Perdana Menteri itu, beliau secara peribadi menyifatkan apa yang dilalui Najib tidak adil.

“Jadi keadilan yang sebenar mesti diberi kepada beliau, saya yakin ramai lagi kepimpinan dan akar umbi ingin lihat keadilan yang sebenarnya kepada Najib.

“Kita mesti semak semula kehakiman (walaupun) tadi tak dibenarkan Mahkamah Persekutuan,” katanya. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

‘Rayuan Najib tidak didengari dan berlaku ketidakadilan besar buatnya’ – Hakim Abdul Rahman