abdul rahman sebli
Abdul Rahman Sebli

PUTRAJAYA – Hakim Besar Sabah, Sarawak, Datuk Abdul Rahman Sebli yang mengetuai panel hakim mendengar semakan kes sabitan salah dan hukuman terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak berpendapat bekas Perdana Menteri itu tidak mendapat pengadilan sewajarnya dalam prosiding terdahulu.

Beliau merupakan hakim tunggal menentang keputusan empat lagi panel hakim yang menolak permohonan Najib bagi menyemak semula keputusan Mahkamah Persekutuan berhubung rayuan akhir kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn. Bhd.

Empat hakim itu ialah Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Vernon Ong Lam Kiat; Datuk Rhodzariah Bujang; Hakim Datuk Nordin Hassan dan Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Abu Bakar Jais.

Ketika membacakan penghakimannya, Abdul Rahman berkata, adalah sesuatu yang wajar supaya Najib dibebaskan dan dilepaskan kerana bekas Perdana Menteri itu tidak diberikan perbicaraan yang adil.

Malah beliau berkata, panel hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai Tun Tengku Maimun Tuan Mat telah menyalahguna kuasa dengan memaksa peguam mewakili Najib untuk meneruskan prosiding walaupun peguam itu (Datuk Hisyam Teh Poh Teik) menarik diri.

Menurut Abdul Rahman, keputusan perbicaraan rayuan akhir itu tidak benar atau susah untuk dipercayai.

“Rayuan Najib tidak didengari dan berlaku ketidakadilan besar buatnya. Beliau berada dalam keadaan kurang bernasib baik kerana tidak diwakili semasa rayuan.

“Oleh itu, sabitan terhadap tertuduh perlu dibatalkan kerana tiada representasi undang-undang. Hanya satu pihak iaitu Timbalan Pendakwa Raya (TPR) yang mengemukakan permohonan di hadapan panel terdahulu.

“Sepatutnya pemohon wajar diberikan penangguhan kerana tidak mempunyai representasi undang-undang semasa rayuan.

“Adalah juga tidak benar dengan dakwaan bahawa peguam Najib telah diberikan empat bulan untuk persediaan, yang sebenarnya empat bulan itu untuk Tetuan Shafee & Co, mereka bukan peguam baharu yang dilantik pemohon,” ujarnya.

Abdul Rahman berkata, fakta yang tidak boleh dipertikai ialah Najib tidak pernah menukar peguam semasa bicara di peringkat Mahkamah Tinggi.

Tambah beliau, bekas Perdana Menteri itu menukar peguam sekali iaitu ketika pendengaran akhir prosiding SRC International yang mana Najib tidak boleh disalahkan kerana mendengar cakap peguamnya.

“Saya menyebelahi permohonan Najib untuk menyemak tujuh pertuduhan kes menyeleweng dana SRC International terhadapnya,” katanya.

Dengan keputusan mahkamah hari ini, Najib kekal menjalani hukuman di Penjara Kajang dan pilihan terakhirnya ialah mendapatkan pengampunan diraja daripada Yang di-Pertuan Agong.

Pada Julai 2020, Mahkamah Tinggi, di sini, mendapati Najib bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana SRC International.

Beliau dijatuhi hukuman penjara 10 tahun bagi setiap tiga kes pecah amanah dan masing-masing tiga kes pengubahan wang haram manakala penjara 12 tahun dan didenda RM210 juta, jika tidak dipenjara lima tahun bagi satu kes penyalahgunaan kedudukan.

Namun Najib hanya perlu menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas hakim memerintahkan hukuman itu berjalan serentak. – MalaysiaGazette

5 Komen

  1. Bukan ketidakadilan…tapi ketidakadilan yg BESAR! Ada juga hakim yg berani berkata benar….moga YAA Hakim Besar Sabah dan Sarawak,hakim paling senior ini diberikan kesihatan yg baik dan ganjaran tertinggi oleh Allah SWT kerana tidak takut berkata benar..

  2. terima kasih kepada 4 lagi hakim yg menjalankan tugas dgn tegas lagi saksama menyerap keadilan dalam kes yang akan terus berlanutan diperkotak katikkan oleh tertuduh

    • bila pulak undang2 diperkotak katik olh tertuduh…nazlan ada konflik kepentingan…peguam bela x diberi peluang ..

  3. kenapa jadi tidak adil.. nayalah yang kena hukuman kalau tidak adil. jdi mcm gengster plak ye …

  4. Kenapa lagi timbul persepsi tentang penghakiman DSNR sedangkan satu dunia mengetahui perkara sebenar,di Singapore yg terlibat dengan skandal tersebut telah di tangkap dan di jatuhkan hukuman,dan di amerika syarikat juga telah menangkap dan menjatuhkan hukuman yang terlibat skandal tersebut,jadi kenapa masi ada yang tidak memahami akan keadaan sebenar.

Comments are closed.