ayam dedak telur
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah mengesan 2,711 kesalahan melibatkan bekalan ayam dan telur.

KPDN dalam kenyataan berkata, kesalahan tersebut dikesan selepas pihaknya melakukan 183,047 pemeriksaan di seluruh negara.

“Antara kesalahan yang dikesan adalah menjual melebihi harga
kawalan, kegagalan mematuhi penandaan harga serta kesalahan lain.

“Nilai kompaun yang dihasilkan adalah berjumlah RM482,400,” katanya.

Menurutnya, KPDN komited untuk terus membantu rakyat Malaysia Madani dalam mengurangkan beban akibat peningkatan kos sara hidup dan menangani isu kenaikan harga barang yang tidak munasabah.

Ini bagi memastikan pengguna berada dalam keadaan selesa sepanjang sambutan bulan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba.

Pelbagai Inisiatif di bawah Payung RAHMAH turut diteruskan oleh Kerajaan antaranya dengan mengawal dan menetapkan harga maksimum bagi ayam dan telur ayam sepanjang bulan Ramadan dan menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Kementerian juga telah mengadakan sesi libat urus bersama
Kementerian Kewangan, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia.

Turut dilibatkan adalah pihak pengeluar yang diwakili Persekutuan Persatuan Penternak-Penternak Malaysia (FLFAM) bagi memastikan isu bekalan dan harga ayam dan telur ayam dapat ditangani secara holistik.

Katanya, FLFAM telah memberi jaminan bekalan ayam dan telur ayam adalah mencukupi sepanjang bulan Ramadan dan menjelang musim perayaan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.

“Pihak pengeluar juga telah menyatakan komitmen bahawa mereka akan bekerjasama dengan pihak kementerian.

“Bagi menangani sebarang isu gangguan bekalan ayam dan telur ayam di dalam negara dengan menyalurkan segera bekalan ke atas mana-mana lokaliti yang mengalami gangguan,” katanya.

KPDN akan giat melaksanakan pemeriksaan dan pemantauan di
seluruh negara.

Pengguna juga digalakkan untuk menjadi mata dan telinga kepada kerajaan dengan menyalurkan maklumat serta aduan yang lengkap berhubung ketidakpatuhan ke atas undang-undang yang dikuatkuasakan oleh kementerian.

Ini terutamanya berhubung isu kekurangan bekalan atau ketidakpatuhan ke atas harga maksimum ayam dan telur ayam.-MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast