KUALA LUMPUR – Tiada tanda-tanda masalah kesihatan dialami Datuk Seri Sulaiman Md Ali sepanjang menghadiri dan mengambil bahagian dalam lima persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka sejak dua tahun lalu.
Demikian kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang, Dr Mohd Aleef Yusof yang merasakan alasan kesihatan bukan faktor utama untuk melucutkan jawatan Sulaiman sebagai Ketua Menteri Melaka.
Dakwanya, tahap kesihatan Sulaiman seperti mana yang dinyatakan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilihat meragukan dan bertentangan dengan keadaan sebenar ADUN Lendu itu.
“Semalam Ahmad Zahid mengesahkan bahawa Sulaiman ditukar hanya kerana masalah kesihatan. Hal ini sangat jelas meragukan.
“Pada pengamatan saya sepanjang bertemu dan mengikuti sesi persidangan DUN Melaka bersama Datuk Seri Sulaiman, beliau nampak sihat dan tiada tanda mempunyai sakit yang membimbangkan,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Semalam, media melaporkan Ahmad Zahid mengesahkan peletakan jawatan Sulaiman sebagai Ketua Menteri Melaka disebabkan kerana masalah kesihatan.
Susulan itu, Timbalan Perdana Menteri menghantar nama Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh sebagai calon Ketua Menteri Melaka yang baharu menggantikan Sulaiman.
Dalam pada itu, Aleef yang juga pemimpin Bersatu itu mendakwa pertukaran Ketua Menteri Melaka itu setelah UMNO memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dua tahun lalu sebagai satu penghinaan kepada rakyat negeri itu.
“Maka rakyat menuntut penjelasan apakah motif dan sebab sebenar yang beliau ditukarkan.
“Saya mengingatkan mereka agar telus kepada rakyat yang ternyata begitu kecewa dan marah. Respons rakyat adalah tidak baik pada ketika ini. Saya menyeru Sulaiman agar membuat penjelasan sebenar.
“Pada PRN akan datang sudah pasti perubahan besar bakal berlaku dek kerana kemarahan dan kekecewaan rakyat Melaka atas apa yang berlaku ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
Hang sebuk hal parti org pasai pa plak? Hajat hati nk mencucuk2 agar parti abah hang boleh muncul semula. Udah2 la tu berpolitik. Hang pun dh jadi adun kan..