Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh bersama Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 15 FEBRUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh menyebelahi Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkaitan isu Ahli Parlimen Muar itu tidak dibenarkan masuk ke dalam Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam.

Hannah Yeoh berkata, Syed Saddiq tidak mendatangkan sebarang bahaya kepada mana-mana pihak.

Tambahan katanya, pendekatan Syed Saddiq yang merupakan bekas Menteri Belia dan Sukan untuk berdialog mengenai sesuatu dasar adalah tepat.

“Syed Saddiq ialah seorang Ahli Parlimen yang dipilih dan bekas menteri.

“Tidak ada yang berbahaya tentang dia. Dialog/Penglibatan ialah cara yang betul untuk bercakap tentang dasar,” kata Hannah dalam ciapan di Twitter.

Pihak keselamatan UiTM tidak membenarkan Syed Saddiq masuk ke dalam kampus bagi menyertai dialog ‘Intern Bukan Buruh Paksa’ dan Program Jelajah Mansuh Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971.

Program itu dijadual berlangsung di Dataran Cendekiawan, UiTM Shah Alam pada 30 Mac 2023 pukul 10 malam.

Syed Saddiq hadir di universiti itu pukul 9.30 malam selepas menunaikan solat terawih di Surau Al-Ansor, Seksyen 2, Shah Alam.

Bagaimanapun beliau ditahan di pintu masuk oleh pihak keselamatan.

Beliau melahirkan perasaan amat kesal apabila dialog dianjurkan pertubuhan Mahasiswa Demokratik tidak mampu dijalankan seperti dirancang sebelum ini.

“Saya telah bertanyakan mengapa tidak dibenarkan dengan polis bantuan UiTM namun dimaklumkan pihak pengurusan tertinggi UiTM tidak benarkan saya masuk atas alasan ‘untuk menjaga keharmonian universiti’.

“Tidak masuk akal alasan ini kerana saya pernah berdialog di beberapa universiti lain tanpa sebarang halangan,” ujarnya.

Ahli Parlimen Muar itu bersama lebih 50 ahli Mahasiswa Demokratik kemudiannya telah beredar daripada pintu utama kira-kira pukul 10.45 malam.

Media melaporkan, lebih 10 anggota pihak polis mengawal ketat pintu utama UiTM Shah Alam dan tidak membenarkan orang awam masuk ke dalam universiti itu.

Syed Saddiq dalam kenyataan terbaharu hari ini berkata, pihak universiti membenar kedua-dua acara itu berlangsung namun bukan dalam bulan ini dan akan disertai ahli panel lain.-MalaysiaGazette