Foto FB JPJ Selangor

SHAH ALAM – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Selangor menafikan dakwaan kononnya seorang penunggang motosikal terlibat dalam kemalangan sehingga terbaring di atas jalan raya akibat daripada sekatan jalan raya yang dijalankan oleh jabatan berkenaan, tiga hari lepas.

JPJ Selangor dalam kenyataan malam tadi berkata dakwaan itu tular di media sosial menerusi kiriman suara dan gambar dua pegawai JPJ yang berada berdekatan dengan penunggang motosikal berkenaan yang terbaring di atas jalan.

Kenyataan itu menjelaskan dua pegawai yang berada di lokasi kejadian itu sebenarnya bertindak pantas memberikan bantuan awal dengan mengawal lalu lintas.

“Kejadian berlaku pada 5.40 petang, 28 Mac lepas, ketika sepasukan anggota JPJ Selangor  sedang melakukan rondaan di sekitar KM 4.4 Lebuhraya Selat Klang Utara dari arah Bandar Sultan Suleiman menghala ke Shah Alam. Apabila tiba di tempat kejadian, seorang penunggang motosikal didapati terbaring di atas jalan raya akibat satu kemalangan.

“Tanpa membuang masa, pihak JPJ memberikan bantuan awal, mengawal lalu lintas di lokasi dengan meletakkan kon keselamatan serta terus menghubungi talian kecemasan 999 untuk bantuan kecemasan paramedik,” katanya.

Menurut kenyataan itu siasatan awal pihaknya mendapati kemalangan berlaku disebabkan penunggang motosikal itu hilang kawalan sehingga terbabas, dan dia kini dilaporkan sedang menerima rawatan lanjut di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast