Pembinaan sistem pembentungan di Jalan Teluk Sisek, Kuantan yang dilaksanakan oleh Jalur Cahaya Sdn Bhd tahun lalu.

KUANTAN – Kerajaan Pahang sedang mempertimbang pelaksanaan Fasa 2 Projek Loji Rawatan Kumbahan Serantau dan Rangkaian Projek Pembentungan Bandar Kuantan membabitkan kawasan Indera Mahkota, di sini.

Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Seri Sallehuddin Ishak berkata, pihaknya telah menerima permohonan bagi tujuan itu daripada Jabatan Perkhidmatan Pembentungan negeri.

Namun, katanya, jika ia telah mendapat kelulusan, beberapa syarat tambahan akan dibuat agar pengurusannya dapat ditambah baik.

“Antaranya, tiada lagi interchange yang besar di tengah jalan. Keduanya, pihak pemaju perlu memastikan kawalan trafik yang lebih baik di kawasan terbabit,” katanya.

Datuk Seri Sallehuddin Ishak

Beliau berkata demikian ketika ditemui hari ini selepas meninjau pembukaan semula Jalan Teluk Sisek yang terbabit dalam Fasa 1 projek Pembetungan Kuantan di sini bersama Datuk Bandar, Datuk Hamdan Hussin.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teruntum, Sim Chon siang dan wakil pihak pemaju Jalur Cahaya (JC) Sdn Bhd.

Berdasarkan pemantauan kepada kerja-kerja pembinaan dalam Fasa 1, kerajaan negeri memandang serius isu membabitkan keselesaan pengguna jalan raya warga Kuantan.

Datuk Seri Sallehuddin Ishak (kiri), Datuk Hamdan Hussin (tengah) dan Sim Chon Siang (kanan) meninjau pembukaan semula Jalan Teluk Sisek, di sini selepas tiga tahun.

“Kita juga tidak benarkan penutupan jalan pada waktu puncak kerana melibatkan kos kepada orang awam. Kita juga minta dipastikan laluan dibuka dua hala bagi sepanjang masa,” tambah Sallehuddin lagi.

Projek Pembetungan Kuantan merupakan sebuah projek Kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Perkhidmatan Pembetungan yang bertujuan menambahbaik sistem pembetungan di kawasan tadahan Bandar Kuantan dan Kempadang.

Difahamkan, kos keseluruhan bagi Fasa 1 projek itu membabitkan RM570 juta, dijangka siap sepenuhnya menjelang 2024. – MalaysiaGazette