Gambar hiasan

JOHOR BAHRU – Seorang lelaki Orang Kurang Upaya (OKU) ditahan di kediamannya di Taman Universiti, Skudai, tengah malam Sabtu, kerana dipercayai mendatangkan kecederaan terhadap individu lain.

Pemangku Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara Supt Fariz Ammar Abdullah berkata penahanan lelaki OKU pendengaran dan bisu pada 12.15 tengah malam itu, susulan panggilan awam berkenaan seorang lelaki warga tempatan yang ditemui berlumuran darah di Jalan Pertanian 26, Taman Universiti, pada pukul 10.56 malam (Jumaat).

Beliau berkata, mangsa yang berusia 45 tahun itu, bekerja sebagai pemandu lori dan kini dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru kerana mengalami kecederaan di bahagian tangan, muka dan telinga, dipercayai terkena objek tajam.

“Hasil tindakan pantas, warga tempatan berusia 26 tahun itu telah ditahan. Pakaian yang digunakan lelaki tersebut ketika melakukan jenayah turut dirampas.

“Semakan polis mendapati lelaki berkenaan turut mempunyai kesalahan lampau, melibatkan tiga kesalahan jenayah dan satu kesalahan dadah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Jelas Fariz Ammar, motif kejadian dipercayai kerana mangsa tidak membayar gaji individu berkenaan, semasa bekerja dengannya sebagai kelindan lori.

Lelaki berkenaan direman selama tiga hari sehingga 3 April.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.

“Polis menasihatkan masyarakat agar bersikap rasional, dalam menyelesaikan sebarang masalah yang dihadapi dan janganlah melakukan sebarang perbuatan melulu sehingga dikenakan tindakan undang-undang,” katanya. – BERNAMA