Keadaan di Little Rock selepas dilanda puting beliung. Foto Twitter

ARKANSAS – Sekurang-kurangnya 24 orang cedera selepas puting beliung “menghancurkan” Little Rock, Arkansas.

Bencana alam ini telah menyebabkan kediaman rosak, pokok tumbang dan kereta terbalik.

Beberapa blok bangunan dilaporkan mengalami kerosakan.

Hampir 90 juta orang di 15 negeri di Amerika Syarikat berada di bawah ancaman ‘letupan’ ribut.

Keadaan darurat juga telah diisytiharkan di Missouri dan dua puting beliung dilaporkan di Iowa.

Hujan batu sebesar bola golf jatuh di Illinois.

Gabenor Arkansas Sarah Huckabee Sanders mengisytiharkan darurat dan mengerahkan Pengawal Kebangsaan untuk kerja-kerja menyelamat selepas negeri itu dilanda kerosakan besar.

Kediaman di Little Rock, Arkansas rosak teruk dilanda puting beliung. foto Twitter

Sementara itu, Datuk Bandar Little Rock, Frank Scott Jr berkata, setakat ini belum ada kematian dilaporkan akibat puting beliung itu namun kerosakan harta benda cukup besar.

Pusat Perubatan Universiti Arkansas menerima sekurang-kurangnya 15 pesakit termasuk yang kritikal.

Little Rock dilanda puting beliung selepas bencana alam sama berlaku di Mississippi yang mengorbankan 26 orang.

Amaran ribut petir yang berisiko tinggi telah dikeluarkan pada hari Jumaat untuk Arkansas, Illinois, Iowa, Missouri dan Tennessee, menurut Pusat Ramalan Ribut Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Kebangsaan.

Agensi itu memberi amaran bahawa beberapa puting beliung boleh berlaku pada jarak jauh.

Kali terakhir terdapat dua amaran berisiko tinggi yang berasingan secara serentak ialah pada April 2012.

Puting beliung Mississippi minggu lalu melanda sejauh 59 batu (94 kilometer) dan berlangsung kira-kira sejam 10 minit – tempoh masa yang luar biasa panjang dan merosakkan kira-kira 2,000 rumah.

Sehingga kini, lebih 79,000 pelanggan di Arkansas tidak mempunyai bekalan elektrik, menurut Poweroutages.us.

Manakala lebih 28,000 penduduk di Oklahoma juga terpaksa bergelap apabila angin kencang dikatakan telah memutuskan talian elektrik, mencetuskan kebakaran rumput.

Gangguan juga dilaporkan di Missouri, Kansas dan Texas. – MalaysiaGazette