Foto: Fb Bahagian Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

GUA MUSANG – Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melakukan penerbangan pemindahan perubatan (Medevac) bagi membantu seorang wanita Orang Asli yang mengalami keguguran dari Kampung Dakoh, Pos Balar untuk menerima rawatan lanjut di Hospital Gua Musang, semalam.

Pegawai Perhubungan Awam JBPM Pangkalan Udara Wilayah Tengah Subang, Selangor, Timbalan Penguasa Bomba II Mohd Hasrizal Kamaruzzaman berkata, mangsa Faridah Biyor, 34, yang diiringi adiknya Nasila Biyor, 28, dibawa keluar dari perkampungan tersebut menggunakan pesawat Agusta Westland 189 (AW189) pada pukul 12.52 tengah hari.

“Pesakit memerlukan pengusung untuk dibawa keluar kerana mengalami sakit perut sehingga wajahnya mengalami kepucatan.

“Pesawat berlepas dari Pangkalan Udara Wilayah Tengah Subang, Selangor, pada 11.26 pagi dan sampai di Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang pukul 12.20 tengah hari untuk mengambil dua kakitangan Kementerian Kesihatan untuk menyertai misi pemindahan ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Mohd Hasrizal, operasi yang diketuai Kapten Badrul Hisham Bahar Shah selamat tiba di Pangkalan Udara Wilayah Tengah Subang, Selangor, pada 2.10 petang dengan operasi penerbangan tersebut mengambil masa selama dua jam 30 minit. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast