Mohd Iqbal Ibrahim

SHAH ALAM – Polis DiRaja Malaysia (PDRM) mengesahkan berlaku insiden kekecohan di sebuah kedai pakaian selepas diserbu kira-kira 500 pelanggan di Seksyen 7, di sini, pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya menerima aduan mengenai perkara itu jam 10.30 pagi semalam selepas berlaku tolak-menolak dan kekecohan.

“Pihak polis telah menerima aduan sekitar jam 10.30 pagi, di mana telah berlaku kekecohan semasa permulaan operasi di kedai pakaian berkenaan yang membuat promosi.

“Promosi antara lain 100 orang pertama dapat membeli pakaian dengan harga RM1, manakala 50 orang berikutnya akan mendapat baju kurta percuma.

“Dianggarkan seramai lebih 500 orang membanjiri kedai berkenaan untuk mendapatkan harga promosi tersebut, sehingga berlaku tolak menolak dan kekecohan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam tular satu video di media sosial menunjukkan orang ramai yang beratur panjang dilihat diminta bersurai apabila keadaan menjadi tidak terkawal di sebuah kedai pakaian di Seksyen 7, di sini.

Kebanjiran kira-kira 500 pelanggan itu berlaku apabila peniaga menawarkan harga jualan serendah RM1 untuk sepasang baju Melayu bagi 100 orang pertama dan baju kurta secara percuma untuk 50 orang berikutnya.

Mohd Iqbal berkata, bagi meredakan keadaan, pihak polis menasihatkan pihak pengurusan kedai menghentikan operasi perniagaan mereka kira-kira jam 11.45 pagi.

“Atas faktor keselamatan, pihak pengurusan kedai bersetuju menghentikan operasi kedai, kerana tidak dapat mengawal bilangan pengunjung yang hadir.

“Setakat ini tiada sebarang laporan polis yang dibuat oleh mana-mana pihak bersabit kejadian ini dan tiada sebarang insiden yang tidak diingini berlaku,” katanya.

Pihak polis turut menasihatkan orang ramai agar tidak mudah terpengaruh dengan mana-mana promosi yang dibuat pada musim perayaan ini.

“Pihak peniaga hendaklah sentiasa peka dan elakkan membuat promosi yang boleh mengelirukan orang ramai bagi mengelakkan kejadian seperti itu tidak berulang,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast