Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berbual mesra bersama Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan (kanan) pada Ceramah Bersama Bossku sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) N.58 Slim di FELDA Besout 2, Perak. foto FAREEZ FADZIL, 28 OGOS 2020.

KUALA LUMPUR – Pemimpin UMNO terus menyuarakan rasa simpati terhadap keputusan mahkamah yang tidak memihak kepada bekas presiden parti itu Datuk Seri Najib Tun Razak.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Seri Ahmad Maslan berharap bekas perdana menteri tersebut dibebaskan daripada kezaliman.

Ahmad yang juga Timbalan Menteri Kewangan berkata, beliau amat bersimpati terhadap Najib selepas membaca laporan akhbar berhubung kenyataan yang dikeluarkan oleh Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Abdul Rahman Sebl.

Hakim berkenaan berpendapat, panel hakim Mahkamah Persekutuan sebelum ini mungkin tidak berlaku adil terhadap Najib.

Serentak itu Ahmad memohon kepada semua pihak agar dapat berdoa supaya Najib dibebaskan.

“Saya sangat simpati kepada Datuk Seri @NajibRazak bila membaca laporan ini. Dlm BH 2/4/23.

“Sempena Ramadan yang mana doa ikhlas kita dimakbulkan Allah, mohon titipkan sepatah dua doa agar Datuk Seri Najib dibebaskan.

“Moga kezaliman itu diangkat daripada bebanan yang menimpa beliau. Ya Allah, bantulah Datuk Seri Najib,” ciap Ahmad di Twitter.

Bekas Setiausaha Agung UMNO itu turut berkongsi laporan berita bertajuk ‘Bekas PM tak diwakili secara sah, wajar dibebaskan’.

Laporan oleh Bernama itu menyebut, Abdul Rahman yang mempengerusikan panel lima hakim Mahkamah Persekutuan pada Jumaat berpendapat bahawa keputusan yang wajar diberikan terhadap Najib adalah dibebas dan dilepaskan.

Dalam alasan penghakiman bertulis setebal 78 muka surat, beliau berkata, nampak jelas baginya bahawa berlaku penyelewengan keadilan, bahawa pemohon (Najib) dinafikan daripada hak mendapat perbicaraan yang adil.

Beliau berkata, tidak dinafikan bekas Perdana Menteri itu didakwa melakukan kesalahan yang amat serius, tetapi adalah penting orang tertuduh diwakili secara sah bagi menjamin wujudnya keadilan terhadap proses perbicaraan atau rayuannya.

“Keadilan bukan sahaja mengenai bersalah atau tidak bersalah orang yang dituduh. Ia juga memberikannya perbicaraan yang adil. Orang yang dituduh harus berasakan bahawa dia menjalani proses perbicaraan yang adil.

“Jika dia tidak boleh dibicarakan secara adil terhadap pertuduhan yang dikenakan, dia tidak sepatutnya dibicarakan sama sekali. Menafikan tertuduh daripada perbicaraan yang adil adalah satu bentuk ketidakadilan yang serius,” katanya dalam penghakiman minoritinya.

Beliau berkata demikian sebagai merujuk kepada permohonan Najib untuk menyemak keputusan panel Mahkamah Persekutuan sebelum ini yang mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda kerana penyelewengan RM42 juta dana SRC International.-MalaysiaGazette