Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pemain industri vape khususnya pengilang tempatan yang mengeluarkan produk cecair atau gel mengandungi nikotin diberi tempoh sehingga 30 April untuk mendaftarkan dengan Jabatan Kastan Diraja Malaysia.

Kementerian Kewangan dalam kenyataan berkata, pendaftaran dalam tempoh ditetapkan boleh mengelakkan pemain industri itu dikenakan kompaun atas kesalahan lewat berdaftar.

“Pendaftaran awal ini akan memastikan pematuhan industri yang menyeluruh serta pengutipan cukai berjalan lancar menjelang bulan Mei 2023.

“Pendaftaran pelesenan di bawah Akta Eksais 1976 boleh dibuat secara dalam talian,” katanya.

Kementerian Kewangan akan melaksanakan pengenaan duti eksais ke atas produk cecair atau gel mengandungi nikotin yang digunakan untuk rokok elektronik dan vape.

Duti eksais berkuat kuasa semalam melalui pewartaan Perintah Duti Eksais (Pindaan) 2023.

Duti eksais pada kadar RM0.40 akan dikenakan bagi setiap mililiter cecair atau gel mengandungi nikotin yang digunakan untuk rokok elektronik dan vape.

“Dengan pelaksanaan duti eksais ini, Kerajaan akan terus memastikan semua peraturan dan kawalan barangan berduti eksais oleh JKDM dapat dipertingkatkan untuk mengelakkan ketirisan hasil negara,” katanya.

Separuh daripada hasil duti eksais akan diperuntukkan semula kepada Kementerian Kesihatan sebagai usaha untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan seperti yang telah dijanjikan dalam pengumuman Belanjawan 2023.

Semasa pembentangan Belanjawan 2023 pada 24 Februari lalu kerajaan mengumumkan cadangan untuk mengenakan duti eksais ke atas produk cecair atau gel mengandungi nikotin yang digunakan untuk rokok elektronik dan vape.

Langkah ini membolehkan kerajaan mengenakan cukai ke atas industri vape yang dianggarkan bernilai lebih RM2 bilion dan pada masa yang sama menyokong usaha untuk tidak menggalakkan penggunaan vape. – MalaysiaGazette