Nasrul Ali Hasan Abdul Latif

KUALA LUMPUR – Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tidak sepatutnya memperbesarkan isu dihalang masuk ke Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam untuk sesi dialog anjuran Mahasiswa Demokratik Malaysia baru-baru ini.

Sebaliknya, beliau boleh sahaja meneruskan dialog bertajuk “Intern Bukan Buruh Paksa” itu di luar kampus berkenaan.

Ketua Wira Putra Malaysia, Nasrul Ali Hasan Abdul Latif berkata, sebagai pemimpin muda sepatutnya cakna dengan peruntukan Akta 174 yang diguna pakai UiTM.

Bagaimanapun, Syed Saddiq tetapi masih lagi tidak faham dengan peraturan sesebuah organisasi walaupun sudah dua penggal menjadi wakil rakyat.

“Jika tidak dibenarkan berdialog dalam kampus, beralihlah di luar kampus kalau dia ikhlas hendak memberi kesedaran kepada mahasiswa.

“Tambahan pula, Syed Saddiq dan parti Muda sebahagian daripada Kerajaan Madani, carilah dewan atau fasiliti lain yang sesuai sekitar kampus itu untuk anjurkan program dialog atau ceramah.

“Selangor bawah pimpinan kerajaan Pakatan Harapan (PH), tidak menjadi masalah besar jika hendak diadakan program seumpama itu,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Baru-baru ini, Syed Saddiq mempersoalkan tindakan UiTM Shah Alam tidak membenarkan sesi dialog yang dijadualkan berlangsung di universiti itu.

Presiden Muda itu berkata, universiti berkenaan cuba menghalang dialog yang dianjurkan Mahasiswa Demokratik Malaysia.

Mengulas lanjut, Nasrul Ali Hasan menjelaskan, Ahli Parlimen Muar itu sengaja mahu bermain wayang untuk memburukkan nama UiTM, demi mendapatkan keuntungan politik.

Ujar beliau, sebagai seorang alumni dan mantan pemimpin pelajar di UiTM, beliau amat kesal dengan sikap pemimpin Melayu seperti Syed Saddiq yang cuba mempolitikkan UiTM.

“Kenapa mesti diganggu dan dicabar institusi pendidikan terbesar orang Melayu dan Bumiputera ini? Kalau hendak mendidik banyak kaedah, melainkan matlamatnya adalah perkara lain.

“Saya cadangkan pengurusan UiTM tubuh jawatankuasa khas untuk menganjurkan program bersama pemimpin politik tidak kira daripada kerajaan atau pembangkang bagi menyuarakan agenda perjuangan mereka memperkasa pendidikan orang Melayu dan pribumi.

“Banyak tajuk sesuai boleh dianjurkan pihak universiti sendiri berbanding menerima permohonan pihak lain menganjurkan program bersama pemimpin politik di dalam kampus yang akhirnya akan dipolitikkan pihak tidak bertanggungjawab,” tegas beliau.

Nasrul Ali Hasan yang juga bekas Presiden Institut Pemimpin Muda UiTM Malaysia berkata, ramai alumni dan mantan pemimpin pelajar ITM dan UiTM yang berjaya dan pernah memegang pos penting dalam negara serta pemimpin generasi baharu boleh dijemput dan diangkat sebagai produk universiti itu dalam pembangunan negara dan pembentukan sejarah Malaysia. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Umno Pahang sewajarnya serahkan kuasa kpd golongan muda saja lah.Veteran dah tak mampu lagi.Rata2 ramai yg berpenyakit tiga serangkai.Tak larat dah.Senang kata, kita ni dah tidak relevan lagi. Janganlah jadi mcm Tun M….. akhirnya parti yg dipimpinnya kalah teruk semua kerusi yg ditandinginya. Nak begitu ke?

Comments are closed.