KUALA LUMPUR – Sebanyak 2,767 unit kenderaan Audi pelbagai model yang dikilangkan antara tahun 2008 hingga 2017 yang dipasang dengan beg udara Takata atau generator gas pada beg udara bahagian pemandu, penumpang dan beg udara jenis curtain dipanggil balik.

Panggilan balik itu melibatkan model Audi A4 Sedan, A5 Sportback, A6 Sedan, Q5 dan TT Coupe.

Pengarah Urusan PHS Automotive Malaysia (PHSAM), Erik Winter berkata, berdasarkan kepada kemas kini terbaharu daripada pengeluar, wujud kemungkinan perumah generator gas tersebut itu rosak sekiranya beg udara diaktifkan.

Ini akan menyebabkan serpihan kecil melayang daripada perumah tersebut dan boleh mengakibatkan risiko keselamatan yang serius.

“Di Audi, keselamatan menjadi keutamaan kami. Ia akan terus menjadi salah satu faktor penting dalam usaha berterusan kami untuk menambah baik aspek perkhidmatan selepas jualan.

“Kami mengenal pasti bahawa antara sebab utama pelanggan memilih Audi adalah kerana prestasi dan ciri keselamatannya. Jadi, standard tinggi ini akan kami laksanakan dengan penuh bertanggungjawab,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Oleh itu, beliau menggesa pemilik yang terlibat supaya menghubungi pusat Audi Centre berhampiran untuk mendapatkan temu janji pemeriksaan serta penggantian jika perlu terhadap beg udara dan alat ganti berkaitan secepat mungkin.

“Walaupun kami sudah mengenal pasti jumlah kenderaan yang terlibat dalam kempen panggilan semula ini, memang ada kemungkinan bukan semua memerlukan penggantian alat ganti. Justeru,
kami ingin menggalakkan pelanggan membawa kenderaan untuk diperiksa di pusat servis, seterusnya memberi ketenangan minda kepada mereka,” jelas Erik.

Jelasnya, planggan yang tidak pasti sama ada kereta Audi mereka terlibat dalam kempen panggilan semula ini dinasihatkan supaya mengunjungi laman web Audi Malaysia. – MalaysiaGazette