Gambar hiasan

MANJUNG – Seorang doktor di sebuah hospital, di sini, mengalami kerugian hampir RM195,000 akibat terpedaya dengan sindiket penipuan yang menyamar sebagai pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan polis.

Lebih malang, wanita berusia 26 tahun itu, kini terpaksa menanggung hutang ratusan ribu ringgit susulan membuat pinjaman bank untuk melunaskan pembayaran yang diminta suspek.

MalaysiaGazette difahamkan, mangsa menerima panggilan daripada seorang lelaki yang mendakwa pegawai LHDN Cyberjaya dan meminta wanita itu hadir ke Mahkamah Mejistret Kelantan ekoran terdapat tunggakan saman daripada LHDN pada 23 Mac lalu.

Suspek mendakwa mangsa mempunyai tunggakan bayaran cukai berjumlah RM38,800 di atas syarikat yang dikatakan berdaftar atas nama pengadu.

Bagaimanapun, mangsa menafikan pernah mempunyai syarikat sebelum suspek memaklumkan butirannya telah disalah guna oleh individu lain untuk tujuan tersebut.

Susulan itu, mangsa dihubungi seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai ‘ASP Davi Deon’ dari Bukit Aman meminta membuat pembayaran bagi menyelesaikan kes namanya disalah guna hingga mempunyai tunggakan cukai.

Panik dan bimbang sesuatu berlaku, mangsa bertindak memindahkan wang berjumlah RM17,650 ke akaun bank yang diberikan suspek pada keesokan hari namun dia didesak membuat pembayaran tambahan sebanyak RM184,000 kononnya bagi mengelakkan asetnya dibekukan.

Selain itu,  suspek turut menasihati mangsa untuk membuat pinjaman peribadi dengan bank susulan dia memaklumkan tidak mempunyai wang untuk melakukan pembayaran tambahan.

Berikutan itu, mangsa membuat pinjaman dengan sebuah bank sebelum menyerahkan data perbankan online itu termasuk kata laluan kepada suspek dan hanya menyedari ditipu pada 2 April lalu sebelum tampil membuat laporan polis.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette