MELAKA – Barisan Exco negeri yang buat pertama kalinya membabitkan rakan politik Kerajaan Perpaduan akan mengangkat sumpah jawatan itu Rabu ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, senarai nama itu sudah dipersetujui Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam pertemuannya dengan Timbalan Perdana Menteri itu semalam.
“Barisan Exco yang baharu setelah saya berunding dengan Presiden (UMNO) semalam telah pun diterima.
“Saya akan berjumpa dengan TYT (Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Mohd Rustam) apabila beliau balik dari luar negara.
“Seperti mana saya janjikan bahawa saya akan melengkapkan senarai nama cadangan Exco dalam masa 48 jam telah saya sempurnakan, cuma upacara angkat sumpah akan diadakan pada hari Rabu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengimbas perakam waktu pada hari pertama bertugas di Pejabat Ketua Menteri, Kompleks Seri Negeri di Ayer Keroh di sini, hari ini.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zaidi Johari dan Pegawai Kewangan Negeri Melaka, Datuk Salhah Salleh.
Ditanya mengenai komposisi Exco yang bakal terbentuk, Ab Rauf yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara itu memberitahu senarai portfolio pimpinannya itu cantik dan menarik.
“Untuk mengimbangi pentadbiran kerajaan negeri dan mengambil pendekatan apa yang sedang kita jalankan di peringkat Persekutuan akan kita azamkan di Melaka.
“Komposisinya nanti saya beritahu, saya dah kata portfolio ini ianya cantik dan menarik, tunggu Rabu ini,” katanya.
Sementara itu, ditanya mengenai agendanya membangunkan negeri ini, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri itu berkata, semua agenda yang telah dirancang Ketua Menteri sebelum ini, Datuk Seri Sulaiman Md Ali diteruskan dengan penambahbaikan.
“Saya akan diberi taklimat daripada semua pegawai kerajaan negeri yang diketua SUK, dan akan melihat beberapa perkara yang perlu ditambah baik dan ditambah nilai untuk kemakmuran dan kesejahteraan rakyat Melaka.
“Saya juga akan melihat bagaimana pelan pembangunan ini akan memberi faedah kepada rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette.