Pelakon, Diana Danielle hadir bagi pelantikan Jawatankuasa Pendamai (JKP) dengan suaminya Farid Kamil ketika di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari. Foto MOHD ADZLAN, 28 MAC 2023.

KUALA LUMPUR – Cuba membuka pekung kemelut rumah tangganya sebelum ini, aktres Diana Danielle akhirnya membuat pendedahan dengan mendakwa suaminya, Farid Kamil tidak membayar nafkah selama empat bulan melalui kenyataan dimuat naik di Instagram Story (IG), hari ini.

Diana atau nama sebenar, Diana Danielle Danny Beeson, 32, juga mendakwa dia menampung sendiri kos menunaikan umrah untuk mereka sekeluarga pada Februari lalu.

“Bulan ini sudah masuk empat bulan tak bayar nafkah. Trip (perjalanan) ke Makkah, saya bayar untuk semua empat beranak.

“Saya tak harap pun dia bayar balik, sebab sudah biasa, bila saya keluarkan duit untuk apa-apa, selagi tak ingatkan, dia pun takkan ingat nak ganti balik.

“Tapi dia sendiri cakap, dia akan cover (bayar) balik kos penerbangan dan hotel di Makkah. Malangnya sampai hari ini hanya tinggal kata-kata.

“Dia boleh beli kereta baru, beli cincin berapa ribu (ganti cincin kahwin hilang) dan apa lagilah, tetapi nafkah dan hutang masih tergantung,” dakwanya melalui hantaran IGs.

Dalam hantaran sama, Diana mendakwa, perilaku Farid dilihat sudah mula berubah apabila sering bertindak baran terhadap hal remeh termasuk memarahi anak perempuannya, Nur Aurora dengan teruk selepas memetik cili di rumah jiran.

“Saya mahu tekankan di sini, dia sudah mula tengking-tengking baran dengan anak dari malam sebelumnya. Semuanya hal yang sangat remeh.

“Sampai ke esok pagi masih menengking anak-anak atas sebab sebab remeh. Sampai ke tengah hari dia tengking saya sebab tak jumpa seluar.

“Petang dia tengking Aurora insiden Aurora petik cili. Dua hari dia tak berhenti baran dan jerit sekuat hati. Aurora menggigil minta tolong dengan saya, sebab dia sangat takut.

“Dia dipaksa untuk duduk dalam bilik Babah malam tu sebab nak sambung ‘ajar’ anak,” dakwa Diana.

Sementara itu, Diana mendakwa, cara Farid memberi pengajaran kepada Aurora sangat keterlaluan dengan memaksa anaknya itu tidur atas lantai.

“Bila saya masuk bilik, anak saya tidur atas lantai depan pintu tandas, berlapik sejadah. Saya jadi terkejut, sudahlah ditengking sepuas hati dari petang, dia tak bagi anak tidur dengan saya (yang biasanya) disuruh tidur atas lantai.

“Bila saya mahu ambil Aurora masuk bilik kerana tak tahan tengok layanan anak macam itu, dia tolak saya berkali-kali halang ambil anak. Saya tetap berkeras bawa anak masuk bilik saya kerana takut apa lagi tindakan seterusnya.

“Sebelum keluar bilik, dia ugut akan pukul anak esok disebabkan saya tak bagi anak tidur atas lantai depan tandas. Emosinya sangat tak stabil, saya tak pernah lihat dia begitu sebelum ini,” dakwa Diana.

Pada 20 Mac lalu, Diana memfailkan permohonan cerai terhadap suaminya. Diana selaku plaintif memfailkan permohonan itu pada 10 Mac lalu menerusi Tetuan Akberdin & Co.

Bagaimanapun, pada sebutan pertama permohonan cerai 28 Mac lalu, Farid enggan melafazkan cerai.

Sehubungan itu, Hakim Syarie, Shukran Yusof memerintahkan Farid dan Diana untuk menjalani proses Jawatankuasa Pendamai (JKP).

Pasangan itu mendirikan rumah sejak 11 tahun lalu itu dikurniakan dua cahaya mata, Muhammad, 10, dan Aurora, 8. – MalaysiaGazette