KUALA LUMPUR – Syarikat pengimport telur, J&E Advance Tech Sdn Bhd menghantar surat tuntutan kepada bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam isu mengimport telur ayam melalui rundingan.
Mohamed Azmin sebelum ini mendakwa rundingan tersebut diperolehi ahli perniagaan, Deepak Jaikishan.
Dalam surat yang dihantar melalui firma guaman Han & Zi, syarikat tersebut menuntut bekas Ahli Parlimen Gombak itu membayar ganti rugi sebanyak RM20 juta kerana mendakwa ia telah menjejaskan reputasi syarikat selain kos perundangan untuk prosiding.
J&E Advance Tech juga menuntut Mohamed Azmin menarik balik kenyataan selain memohon maaf terhadap dakwaan yang dilakukannya itu serta berjanji tidak mengulanginya.
“Andai kami tidak menerima jawapan yang memuaskan dalam tempoh tujuh hari dari penerimaan surat ini, arahan kami adalah untuk memulakan prosiding undang-undang terhadap anda,” katanya.
Dalam tuntutan syarikat itu, mereka mempersoalkan ucapan Mohamed Azmin di Kuala Lumpur pada 11 Mac lalu yang mana sebahagian daripada ucapan beliau mendakwa Deepak telah memperoleh kontrak untuk mengimport telur ayam melalui rundingan terus.
Kerajaan telah meluluskan pengimportan telur ayam dari India sehingga Jun ini dalam usaha menangani masalah kekurangan bekalan di pasaran tempatan.
Dua hari selepas kenyataan Mohamed Azmin itu, J&E Advance Tech menafikan bahawa syarikat itu memperoleh kontrak melalui rundingan terus dan menuntut pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu membuat kenyataan pembetulan dalam tempoh 72 jam.
Dalam surat tuntutan hari ini, peguam syarikat itu berkata, dakwaan Azmin dalam ucapannya adalah tidak benar dan berniat jahat dengan memutarbelitkan fakta, memberi gambaran bahawa kerajaan korup dan tidak amanah serta anak guamnya tidak berprinsip dan menipu.
Sebelum ini, syarikat sama telah memberi amaran akan menyaman Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Wee Ka Siong selepas Presiden MCA itu mempersoalkan harga dan kualiti telur import berbanding telur tempatan biasa.
Bagaimanapun, Speaker Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul berkata, Ka Siong tidak boleh disaman kerana kenyataannya dibuat semasa prosiding Parlimen yang dilindungi di bawah Perkara 63 Perlembagaan Persekutuan.
Sebelum ini, Deepak berkata, beliau tidak mempunyai kaitan dengan syarikat pengimport itu dan membuat laporan berhubung perkara tersebut terhadap Mohamed Azmin. – MalaysiaGazette