Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal

KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) mengambil pendirian tindakan Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mempertahankan Bahasa Melayu (BM) dalam ucapannya di Dewan Rakyat tidak boleh dilihat sebagai perkauman.

Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menegaskan, tindakan Takiyudin yang mahu ucapan pembentangan rang undang-undang (RUU) bagi kesalahan hendap dibuat dalam BM adalah bagi membolehkan semua orang faham.

Malah beliau berkata, apa yang dibangkitkan oleh Setiausaha Agung Pas itu cukup jelas dan kerajaan hari ini perlu menambah baik RUU tersebut agar semua kumpulan rakyat memahami apa yang ingin dipinda melibatkan akta kesalahan mengintip atau ‘stalking’.

“Jadi wajarlah perkara itu dibahaskan dan dibincangkan secara jelas dalam bahasa Melayu kerana melibatkan semua rakyat Malaysia.

“Malangnya kerajaan tidak membawa RUU itu dalam bahasa Melayu. Tetapi ruang masih ada untuk buat sedemikian dalam pencerahan lain kerana dalam bahasa Melayu ada banyak istilah yang masuk dalam takrif seperti ‘skodeng’, mengintip dan macam-macam lagi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan Wan Ahmad Fayhsal itu ekoran reaksi kepada Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong menempelak Takiyuddin sebagai perkauman, berpolitik isu bahasa kerana menegur tindakan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ramkarpal Singh yang membentangkan RUU anti hendap dalam bahasa Inggeris.

Ahli Parlimen pembangkang ketika itu mempersoalkan penggunaan hanya bahasa Inggeris dalam RUU meminda Kanun Keseksaan dan Kanun Prosedur Jenayah bagi kesalahan tersebut. – MalaysiaGazette