Hospital Melaka

MELAKA – Tiada sebarang aktiviti perhimpunan haram atau mogok membabitkan doktor kontrak di Hospital Melaka di sini hari ini.

Tinjauan di sekitar hospital terbabit bermula pukul 8 pagi sehingga 1.45 petang tadi mendapati perkhidmatan hospital berjalan seperti biasa.

Kawasan pekarangan luar lobi hospital yang menempatkan ruang parkir kenderaan awam juga tidak menampakkan sebarang tanda pergerakan piket berkenaan.

Tinjauan mendapati perkhidmatan kesihatan di Hospital Melaka berjalan seperti biasa tanpa sebarang perhimpunan haram oleh doktor kontrak.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, tiada sebarang aktiviti himpunan berskala besar yang dikaitkan dengan doktor kontrak dikesan sejak pagi tadi.

“Berdasarkan pemantauan anggota yang ditempatkan di Hospital Melaka sejak pagi tadi mendapati, operasi kesihatan berjalan seperti biasa.

“Bagaimanapun kita akan terus melakukan pemantauan dari semasa ke semasa sehingga Rabu ini,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Media sebelum ini melaporkan doktor kontrak akan melakukan mogok selama tiga hari bermula hari ini supaya permasalahan yang dihadapi mereka diberikan perhatian oleh kerajaan.

Kumpulan itu menganggarkan antara 10,000 dan 13,000 petugas kesihatan akan menyertai mogok.

Petugas kesihatan dari serata negara telah menyatakan minat untuk menyertai mogok itu, kebanyakannya di Selangor, Pulau Pinang, Johor, Sabah dan Sarawak.

Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa dalam satu kenyataan sebelum ini berkata, mogok bukan suatu jalan penyelesaian terbaik bagi menangani sebarang masalah berkaitan pegawai perubatan.

Justeru, pada 31 Mac, jemaah Kabinet bersetuju untuk menubuhkan Jawatankuasa Peringkat Tertinggi yang menggabungkan beberapa kementerian dan agensi termasuk Ketua Setiausaha Negara bagi menangani isu doktor kontrak.- MalaysiaGazette