gambar hiasan

PADA 27 Julai tahun lalu, Rang Undang-Undang (RUU) Generasi Penamat (Generational Endgame; GEG) dibentangkan di Parlimen oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin. RUU ini diusul bermatlamat mengawal individu yang lahir dari 2007 dan selepasnya daripada terbabit dalam aktiviti merokok sama ada membeli, memiliki atau menggunakan rokok atau vape. Namun keputusan YB Menteri Kesihatan Dr. Zaliha Mustafa di Parlimen baru-baru ini amat membimbangkan khususnya buat generasi muda terutama anak remaja yang masih di alam persekolahan.

Langkah membuat pindaan pada Akta Racun 1952 dengan mengecualikan tampalan, cecair dan gel nikotin daripada senarai racun yang perlu dipantau oleh kerajaan melalui Warta Pindaan Perintah Racun (Pindaan Senarai Racun) 2023 yang telah ditandatangani pada 31 Mac 2023 akan membuka ruang penjualan dan penggunaannya secara meluas terutama kepada para pelajar tanpa sekatan. Secara tidak langsung ini menjadikan penggunaan cecair nikotin bagi produk rokok elektronik dan vape (vaporing devices) tidak lagi dipantau di bawah Akta Racun 1952 dan membolehkan penjualannya kepada masyarakat kerana tidak lagi terikat kepada undang-undang.

Kebimbangan ini turut disuarakan pelbagai pihak terutama pakar-pakar perubatan, ahli farmasi dan ngo-ngo. Menurut Presiden Persatuan Farmasi Malaysia, Amrahi Buang di dalam akhbar Sinar Harian bahawa ketiadaan kawalan terhadap bahan perisa dan bentuk peranti vape juga menarik perhatian kanak-kanak. Ketika ini sudah ramai kanak-kanak yang sudah mula menghisap vape di luar sana dan gejala ini menjadi satu masalah besar pada pihak sekolah bila ia berlaku di Kawasan sekolah. Katanya lagi ia sukar dikesan oleh pihak sekolah yang mengakibatkan wujudnya kluster penghisap vape yang baharu.Manakala Pengerusi Majlis Kawalan Tembakau Malaysia, Dr. M Muralitharan menyatakan penjualan cecair nikotin juga tidak dikawal di bawah Akta Makanan 1983.

Penekanan membangunkan generasi murid yang berteraskan konsep “Karamah Insaniah” di dalam kerangka sebuah ‘Negara Madani’ tidak harus mengorbankan akhlak dan keinsanan murid dek mengejar habuan ekonomi semata-mata melalui pengutan cukai ke atas cecair vape. Prof Dr Sharifa Ezat Wan Puteh dari Universiti Kebangsaan Malaysia berkata penggunaan vape itu umpama keseronokan terlarang dalam kalangan remaja yang seharusnya ditangani segera.

Ia tidak sekadar mempunyai bahan kimia berbahaya tetapi memancing populasi bukan perokok untuk mencubanya kerana didakwa tidak bahaya selain mengalihkan ketagihan pada rokok konvensional. Dari sudut psikologi, ketagihan vape dengan dos nikoten yang berlebihan boleh mengakibatkan risiko kesihatan mental seperti gangguan emosi, kemurungan,tekanan dan kebimbangan. Perkara ini jika tidak ditangani oleh semua pihak akan mengundang masalah pada generasi muda khususnya yang berada di alam persekolahan. Negara akan kehilangan generasi yang berkualiti untuk memimpin masa depan negara pada masa akan datang.

Sekolah sewajarnya menjadi tempat bebas rokok dan vape. Kementerian Pendidikan perlu bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia untuk membendang gejala ketagihan vape melalui kempen kesedaran dan penguatkuasaan undang-undang. Penghayatan agama dan penekanan konsep melahirkan murid ABC (anak yang baik lagi cerdik) seperti yang dilaung-laungkan oleh KPM perlu diterjemahkan dengan menolak sebarang usaha membiarkan penggunaan vape berleluasa.Akta Generasi penamat Rokok dan Vape (GEG) perlu segera dilaksanakan demi menyelamatkan negara dari bahaya rokok dan vape.

Justeru, semua pihak daripada peringkat akar umbi hingga ke pucuk pimpinan kerajaan perlu memainkan peranan serta berganding bahu bagi memastikan usaha melahirkan generasi murid yang bebas rokok dan vape dapat direalisasikan . Sebagai sebuah pertubuhan pendidikan, Ikatan Guru Muslim Malaysia (i-Guru) merasa bimbang dan berharap pihak kerajaan dapat menarik balik atau menangguhkan dahulu pengecualian ini. Semua kesatuan -kesatuan guru ,ngo-ngo pendidikan dan tokoh-tokoh pendidikan perlu bersuara serta bersepakat dalam menyatakan pendirian tegas terhadap isu ini.

Kita berharap generasi hari ini serta akan datang dapat berfungsi secara optimum dan menyumbang kemahiran mereka kepada bangsa dan negara serta dapat menjalani kehidupan mereka dengan lebih baik. Pendekatan ‘mencegah sebelum merawat’ wajar diaplikasikan sebagai memenuhi tuntutan maqasid ‘Hifz an-Nafs’ (menjaga nyawa) dan Hifz al-Aql’(menjaga akal) demi kelangsungan generasi. Maka pendidikan wadah terbaik membina generasi bebas rokok dan vape.

Mohd Azizee Hasan
PresidenI katan Guru Muslim Malaysia (i-GURU)

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast