Meenakshi Raman.

GEORGE TOWN – Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar (KeTSA) digesa memastikan Kedah tidak meluluskan kegiatan perlombongan sumber mineral unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) di Hutan Simpan Bukit Enggang (HS Bukit Enggang) dalam daerah Sik.

Presiden Sahabat Alam Malaysia (SAM), Meenakshi Raman berkata, walaupun hal ehwal hutan di bawah bidang kuasa kerajaan negeri namun Kerajaan Persekutuan masih boleh memberi nasihat agar segala dasar, ketetapan dan komitmen berkaitan hal ehwal hutan yang diputuskan peringkat persekutuan diguna pakai di negeri.

“SAM juga dukacita dengan kenyataan KeTSA disiar menerusi media tempatan pada Mac lalu yang mendakwa Kerajaan Negeri Kedah tidak melakukan kesalahan serta berhak memberi kelulusan carigali dan penjelajahan sumber mineral NR-REE di HS Bukit Enggang.

“Mengikut Seksyen 2, Enakmen (Pemakaian) Perhutanan Negara 1985 dan seksyen yang sama Akta Perhutanan 1984 (Akta 313) serta ketetapan yang diputuskan dalam Mesyuarat Petugas Khas Bagi Mengkaji Kesan Pengeluaran Lanthanum di Dalam Hutan Simpanan Kekal Terhadap Dirian Hutan ternyata bahawa sumber mineral REE tidak termasuk dalam tafsiran hasil hutan.

“Ia menjadi suatu kesalahan di samping tidak selari dengan kenyataan menteri berhubung komitmen Malaysia menguruskan hutan secara mampan iaitu tidak mengeluarkan ‘Operational Mining Scheme’ (OMS) bagi tujuan kegiatan perlombongan dalam Hutan Simpanan Kekal (HSK), Kawasan Perlindungan dan Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam perkembangan sama, Meenakshi turut mengulangi gesaan yang diputus Majlis Tanah Negara (MTN) pada 2014 supaya semua kerajaan negeri mengambil inisiatif mengawal atau sebolehnya mengelakkan kelulusan kegiatan perlombongan dan pengkuarian dalam HSK.

“Kegiatan perlombongan dan pengkuarian dalam HSK boleh menyebabkan fungsi kepelbagaian hayat hutan terjejas serta memberi kesan kepada pencapaian pengurusan hutan secara berkekalan yang menjadi teras dalam pengurusan hutan negara.

“Sehubungan itu, SAM berharap KeTSA akan menasihati kerajaan negeri supaya tidak meluluskan kegiatan perlombongan sumber mineral NR-REE di HS Bukit Enggang,” katanya. – MalaysiaGazette