Hannah Yeoh

PUTRAJAYA – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyenaraikan 1,135 fasiliti sukan dalam direktorinya yang kini disenarai dan boleh diakses di laman web kementerian itu.

Menterinya, Hannah Yeoh berkata, ia membolehkan orang ramai mengakses direktori fasiliti sukan dan membuat carian mengikut lokasi dan jenis sukan yang berbeza.

“Direktori ini diwujudkan bagi memudahkan orang ramai untuk mengenal pasti kemudahan yang bersesuaian dan berdekatan kerana ia akan menyenaraikan fasiliti yang tersedia untuk digunakan oleh orang ramai.

“la juga akan membolehkan pemadanan dilakukan antara keperluan persatuan sukan serta kemudahan yang tersedia untuk digunakan,” katanya pada sidang media di Menara KBS hari ini.

Tambah Hannah, direktori yang baru diwujudkan itu untuk menangani isu kekurangan kemudahan latihan yang dibangkitkan oleh persatuan sukan.

“Kekurangan kemudahan latihan itu dibangkitkan semasa sesi townhall yang diadakan pada 22 dan 23 Disember 2022 antara persatuan dan KBS,” katanya.

Selain itu, dengan adanya direktori itu juga, KBS boleh menilai sama ada terdapat percanggahan dalam infrastruktur merentas kawasan Parlimen.

“Dengan langkah itu kita dapat mewujudkan ‘mismatch’ antara kemudahan dan keperluan mengikut lokasi dan jenis sukan,” katanya.

Dalam pada itu, direktori fasiliti sukan itu dapat menggalakkan penggubal undang-undang untuk menjadi lebih strategik apabila membangkitkan isu infrastruktur di Parlimen.

“Ia dapat mengelakkan isu projek pembangunan ad-hoc sebelum ini yang dibina kerana kekurangan perancangan.

“Dengan langkah membolehkan penggunaan dana yang sewajarnya untuk pembangunan infrastruktur pada masa hadapan,” katanya.

Katanya lagi, direktori fasiliti ini akan dikemas kini dari semasa ke semasa dengan memasukkan lebih banyak fasiliti yang disediakan oleh pihak kerajaan di seluruh negara.

“Pembangunan direktori itu sepadan dengan rangka kerja Malaysia Madani untuk menggalakkan tadbir urus baik, mencegah ketirisan dan menamatkan kelemahan dan pengurusan yang lemah,” katanya lagi. – MalaysiaGazette