Sebuah MPV jenis Perodua Alza yang terbakar dalam kejadian di LPT berhampiran Chenor pukul 7 pagi tadi. Gambar : Ihsan Bomba Pahang.

KUANTAN – Lima sekeluarga termasuk dua kanak-kanak sempat menyelamatkan diri sebelum kenderaan mereka naiki sebelum musnah terbakar dalam kemalangan pagi ini.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 7 pagi di Kilometer (KM) 146 Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) hala barat berhampiran Chenor.

Beliau berkata, ketika kejadian, seorang lelaki, dua wanita, seorang kanak-kanak lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan yang menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza itu dalam perjalanan daripada Kemaman, Terengganu menuju ke Kuala Lumpur.

Namun, setibanya di lokasi, pemandu MPV itu gagal mengawal kenderaan lalu melanggar pembahagi jalan di sisi lorong kanan sebelum ia mula terbakar.

“Seramai lapan anggota bomba termasuk pegawai daripada Balai Bomba (BBP) Maran dikejarkan ke lokasi dan membuat pemadaman menggunakan satu aliran hose reel air pam tangki jentera,” katanya.

Bagaimanapun, jelas Zulfadli, kenderaan tersebut telah musnah terbakar 100 peratus.

Dalam pada itu, katanya pasukan EMRS juga telah bertindak memberi rawatan awal kepada mangsa yang mengalami kecederaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast