Najib Razak

Walaupun hanya seorang hakim sahaja memutuskan bahawa tiada keadilan diberikan kepada Datuk Seri Najib Tun Razak dalam kes SRC International Sdn Bhd, tetapi apa yang menarik dalam kes ini ialah ia diputuskan hakim yang mengetuai panel lima hakim dalam permohonan semakan kes itu.

Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Abdul Rahman Sebli yang mempengerusikan panel itu pada Jumaat lepas menegaskan bahawa bekas perdana menteri itu gagal diberi keadilan dan wajar dibebas dari semua pertuduhan kerana ia jelas menunjukkan keputusan panel terdahulu tidak bertindak adil pada Ogos tahun lalu.

Ketika membacakan penghakiman minoriti, Hakim Abdul Rahman membuat kesimpulan bahawa Najib tidak melakukan sebarang kesalahan pada Ogos lepas tetapi kesalahan perlu dikaitkan dengan peguam beliau, Datuk Hisyam Teh Poh Teik yang menarik diri dari mewakilinya.

Dalam alasan penghakiman bertulis setebal 78 muka surat, tiada satu alasan menunjukkan Najib melakukan kesalahan, malah, hakim itu berpendapat bahawa keputusan yang wajar diberikan terhadap Najib adalah dibebas dan dilepaskan.

Tetapi pendapat beliau tidak disokong oleh Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Vernon Ong Lam Kiat, Datuk Rhodzariah Bujang, Datuk Nordin Hassan dan hakim Mahkamah Rayuan Datuk Abu Bakar Jais.

Hakim Abdul Rahman bersetuju bahawa panel terdahulu juga tersilap apabila menghalang Hisyam daripada menarik diri daripada bertindak sebagai peguam bela Najib.

Oleh itu dari segi undang-undang pemohon tidak mempunyai representasi undang-undang apabila rayuannya didengar dan ditolak pada 23 Ogos tahun lepas. 

Merujuk kepada permohonan penangguhan tiga hingga empat bulan perbicaraan rayuan utama oleh pemohon, Hakim Abdul Rahman berkata, ia perlu diterima sebagai dibuat dengan niat suci hati, dan bukannya muslihat atau strategi beliau untuk menangguhkan pendengaran rayuan utama seperti yang didakwa oleh pihak pendakwaan.

“Apa yang penting perlu diambil perhatian secara keseluruhan ialah tiada dakwaan, terbukti atau sebaliknya, bahawa penangguhan tiga hingga empat bulan adalah satu muslihat atau strategi oleh pemohon bagi menangguhkan pendengaran rayuan utama,” katanya.

Abdul Rahman Sebli

Beliau turut memetik kes Halaman Perdana Sdn Bhd & Ors v Tasik Bayangan Sdn Bhd [2014] 3 CLJ 681; [2014] 4 MLJ 1 yang menyatakan bahawa adalah prinsip kuno yang besar bahawa keputusan sama ada untuk membenarkan atau tidak membenarkan penangguhan adalah mengikut budi bicara mahkamah.

Tetapi apa juga undang-undang, budi bicara mesti dilaksanakan secara bijaksana dan bukan secara tidak sengaja atau sewenang-wenangnya. 

Katanya, ketika peguam menarik diri, mahkamah itu sepatunya meminta Najib untuk bercakap dan bukannya meminta Timbalan Pendakwa Raya Datuk V. Sithambaram untuk berhujah, di mana ini sendiri telah melanggar Seksyen 313 (1) Kanun Tatacara Jenayah.

Beliau berkata, dalam episod ini, apa yang jelas menunjukkan mahkamah hanya mendengar hujahan Sithambaram selama dua hari sedangkan Najib tidak berhujah apa-apa bagi membela nasibnya.

Dalam kes ini, mahkamah hanya mendengar hujahan sebelah pihak sahaja dan hak Najib langsung tidak dipedulikan sekaligus melanggar prinsip audi alteram partem (orang yang dituduh diberi peluang yang mencukupi dan munasabah untuk menyatakan kesnya sewaktu perbicaraan diadakan).

Hakim tunggal itu juga menegaskan bahawa walaupun Najib merupakan bekas Perdana Menteri, ia tidak bermaksud beliau mampu untuk mengemukakan hujahan untuk membela diri apabila Hisyam menarik diri.

Beliau turut memetik keputusan Mahkamah Tinggi Australia dalam Dietrich (supra di [17]) di muka surat 282, yang mana, seorang tertuduh yang tidak diwakili adalah kurang bernasib baik, kerana seseorang tertuduh tidak dapat mengendalikan atau berhujah dengan cara yang sama seperti peguam.

Menjelas lebih lanjut, hakim itu berkata, rekod Najib tidak menunjukkan bahawa beliau mempunyai tabiat menukar peguam, apatah lagi menukar peguam bagi tujuan melengahkan prosiding, justeru pemohon tidak boleh dipersalahkan kerana mendengar nasihat peguamnya.

Beliau juga tidak menafikan bahawa perbicaraan jenayah dijalankan dengan paling adil apabila kedua-dua pihak pendakwaan dan pembelaan diwakili oleh peguam yang kompeten.

Ketika memetik kes Dietrich, kata Abdul Rahman, pesalah dalam kes itu diperintah untuk dibebaskan hanya dengan alasan bahawa dia tidak diwakili dan berlaku salah laku keadilan kerana dia telah disabitkan tanpa perbicaraan yang adil.

Menyentuh mengenai pelantikan firma Zaid Ibrahim Suffian TH Liew & Partners (Messrs ZIST), hakim itu berpendapat bahawa, Najib melantik firma itu hanya selepas Mahkamah Tinggi KL menolak permohonan Peguam Diraja dari United Kingdom, Jonathan Laidlaw untuk mewakilinya.

Kata hakim itu, menurut Najib, beliau juga telah membayar fi penuh kepada Laidlaw bagi mewakilinya di rayuan akhir kes  itu, tetapi ia tidak kesampaian apabila mahkamah tinggi menolak permohonan Laidlaw untuk mewakili Najib. 

“Perkara ini tidak dipertikaikan oleh pendakwaan. Oleh itu, pelantikan peguamcara baru dan peguam diperlukan Najib, susulan keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonan kemasukan Peguam Diraja itu….oleh itu, pelantikan peguam baru bukan untuk menangguhkan pendengaran rayuan utama,” katanya.

Tambah beliau, seseorang tertuduh perlu merasakan dia mendapat perbicaraan yang adil, jika tidak dia (tertuduh) tidak boleh dibicarakan terus.

Jumaat lepas, Najib gagal dalam usaha terakhirnya untuk mendapatkan semakan terhadap sabitan hukuman penjara 12 tahun dan denda atas kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd

Najib, 69, yang kini menjalani hukuman penjara 12 tahun di penjara Kajang, telah memohon untuk membatalkan keputusan yang dibuat oleh panel Mahkamah Persekutuan sebelum ini yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat pada 23 Ogos tahun lepas. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. rakyat tidak Arif kaitan power Ketua Panel Hakim dan akal otak dia setelah keputusan dibuat secara undian atau kolektif. results tidak menyokong 4vs1.
    jika Dewan Rakyat power muktamad adalah Speaker.
    untuk Kes Najib ini jika majority panel menentang walau keputusan lebih **SATU** maka keputusan itu diterima.
    Dunia melihat kerosakan dilaksanakan individu berkepentingan memanipulasikan keputusan yang mereka amat ARIF bidang Perlembagaan ini.
    jika Ketua power VETO ranaplah Undang-undang ni

Comments are closed.