Majlis menandatangi memorandum persefahaman bersama antara , Pengarah Sinaran Mega Solutions Sdn Bhd, Nik Mohd Nasrudeen Nik Abd Rahman (kanan) Ketua Pegawai Eksekutif Sedania As-Salam Capital Sdn.Bhd, Nisa Ismail (kanan) yang disaksikan oleh Pengarah CIDB cawangan Kelantan, Nazri Zakaria (dua Dari kiri) Presiden Persatuan Kontraktor Perumahan Malaysia, Hasniro Hasbullah dan Pengarah SKM Kelantan, Zainudin Mohamed di Kota Bharu, Kelantan.

KUALA LUMPUR – Koperasi Arash Jaya Kelantan Berhad (Koraya) berjaya menyalurkan pembiayaan patuh syariah hampir RM20 juta kepada kira-kira  400 permohonan kontraktor perumahan terutamanya di negeri Pantai Timur yang terkesan aliran tunai disebabkan pandemik Covid-19.

Pengerusinya, Rozaidi Abdullah berkata, sambutan menggalakkan itu diterima berikutan Koraya satu-satunya koperasi yang menawarkan pembiayaan jangka pendek bagi sektor kontraktor perumahan di negara ini.

Ini kerana jelas beliau, golongan kontraktor itu kurang diberi perhatian oleh institusi kewangan lain berikutan risiko kredit yang tinggi.

“Kelompongan tersebut diisi oleh Koraya bagi membantu kontraktor perumahan mendapatkan pembiayaan jangka pendek demi kelancaran aliran tunai syarikat dan memastikan projek perumahan dapat disiapkan.

“Sehubungan itu, Koraya menyasarkan sebanyak RM30 juta pembiayaan keseluruhan kepada kontraktor perumahan menjelang akhir tahun 2023.

“Bagaimanapun Koraya hanya memberi fokus kepada kontraktor perumahan yang mana pembeli telah mendapat kelulusan pembiayaan oleh Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) atau bank,” katanya dalam satu kenyataan.

Semalam, Koraya telah menandatangani tiga Memorandum Persefahaman (MoU), bersama rakan strategik iaitu Sinaran Mega Solution Sdn Bhd (SMSSB), Sedania As-Salam Capital Sdn Bhd (Sedania As-Salam) serta MFR Evo Resources Sdn. Bhd. yang melibatkan pelbagai bidang pada masa akan datang.

Pengerusi Koraya, Rozaidi Abdullah (tiga dari kanan) bergambar bersama tetamu kehormat di majlis Iftar di Kota Bharu, Kelantan semalam.

Rozaidi menambah, pada tahun 2022, lebih RM10 billion jumlah pembiayaan diluluskan oleh Lembaga Perumahan Pembiayaan Sektor Awam (LPPSA) dan hampir RM160 billion lagi oleh institusi kewangan.

“Jika industri kontraktor perumahan hanya merangkumi 10 peratus sahaja dari keseluruhan transaksi, peluang menggerakkan ekonomi industri pembinaan sudah cukup besar dan secara tidak langsung memberi manfaat kepada lebih 30 sektor lain terutamanya di luar bandar.

“Bagaimanapun kontraktor-kontraktor perumahan kurang diberi perhatian oleh institusi kewangan di mana situasi ini mewujudkan kelebihan kepada Koraya dalam pasaran industri dengan memberi pembiayaan patuh syariah kepada sektor kontraktor perumahan mahupun keseluruhan industri hartanah.

“Kemudahan pembiayaan patuh syariah merangkumi latihan pengurusan projek bagi membantu aliran tunai syarikat dan kerja-kerja di tapak pembinaan berjalan mengikut jadual.

“Ini berikutan harga bahan binaan dan kos buruh yang semakin tinggi. Sekiranya gagal disiapkan dalam masa yang ditetapkan akan menyebabkan lebih banyak projek terbengkalai dan merugikan negara secara keseluruhannya,” katanya. – MalaysiaGazette