Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim.- Foto AFFAN FAUZI, 14 MAC 2023.

KUALA LUMPUR – Malaysia akan terus mengamalkan dasar berkecuali terhadap perseteruan yang sedang berlangsung antara kuasa-kuasa besar.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pendirian itu ditegaskan kepada Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese baru-baru ini.

Albanese menerangkan penubuhan pakatan keselamatan antara Amerika Syarikat-United Kingdom-Australia (AUKUS).

“PM Australia menghubungi saya dan hantar wakil khas menjelaskan tentang AUKUS. Pendirian Malaysia dan ASEAN adalah tidak menyokong apa-apa usaha yang boleh meningkatkan ketegangan terutama bidang ketenteraan.

“Malaysia dan ASEAN adalah zon yang bebas tidak mahu perseteruan di antara kuasa besar menekan kita.

“Sebab itu bila diumumkan AUKUS, Malaysia nyatakan keresahan dan kebimbangan agar perkara ini tidak meledak sebagai suatu yang akan dianggap provokatif yang akan menyebabkan negara China meningkatkan kegiatan mereka di rantau,” kata Anwar.

Beliau menjawab soalah Datuk Seri Takiyuddin Hasan (Kota Bharu-PN) di Dewan Rakyat.

Dalam pada itu, Perdana Menteri juga menegaskan, Malaysia juga menyokong dasar tidak bergantung dengan dollar Amerika (AS).

Malah beliau sendiri mengusulkan penubuhan Asian Monetary Fund (AMF) di Forum Boao, Hainan baru-baru ini yang turut mendapat perhatian Presiden China, Xi Jinping.

Penubuhan AMF bagi mengurangkan pergantungan terhadap International Monetary Fund (IMF)

“Di Forum Boao di Hainan, saya keluarkan usul tentang Asian Monetery Fund supaya tidak bergantung kepada dollar AS dan IMF.

“Presiden China turut mengulas menganai AMF dan akan membincangkan. Tidak ada sebab negara seperti Malaysia terus bergantung kepada dollar,” kata Anwar.

Malah menurut beliau Malaysia dan Indonesia telah memulakan langkah dengan menggunakan matawang masing-masing ketika menjalankan perdagangan.-MalaysiaGazette