Mesin layan diri daging beruang yang dijadikan "cenderahati tempatan dari Akita". foto akhbar Mainichi Shimbun.

TOKYO – Mesin layan diri (vending machine) di Jepun, yang menawarkan kimchi, daging ikan paus, siput atau serangga dalam tin yang boleh dimakan, kini menawarkan hidangan baharu iaitu daging beruang liar.

Daging itu ditawarkan dengan potongan berbeza – pelanggan boleh membeli daging beruang berlemak atau tanpa lemak dengan harga kira-kira 2,200 yen (AS$17) setiap 250 gram, lapor akhbar Mainichi Shimbun.

Daging haiwan itu kini popular selepas diperkenalkan oleh restoran Soba Goro di wilayah Semboku di utara wilayah Akita.

Makanan mentah itu kini menjadi ‘buah tangan Akita’, dijual antara 10 hingga 15 pek seminggu yang dibawa oleh pemburu tempatan.

Mesin layan diri di Semboku yang menjual pelbagai pilihan makanan mentah ini terletak di pintu masuk ke stesen Tazawako, operasi Shinkansen atau kereta api laju.

Media itu mendakwa daging tersebut kebanyakannya dibeli oleh pelawat yang tiba dengan menaiki pengangkutan tersebut.

Pemburu berlesen dibenarkan menembak dan membunuh beruang di Jepun – tetapi kerana daging itu dianggap sebagai makanan istimewa di situ, ia tidak ada di atas meja di restoran biasa di Tokyo.

Bagaimanapun, sejak mesin menjual daging beruang itu dipasang pada November lalu, pengusahanya berkata, mereka telah mendapat pertanyaan dari wilayah Kanto di sekitar Tokyo.

“Daging beruang rasanya bersih, dan ia tidak keras, walaupun dalam keadaan sejuk.

“Ia boleh dinikmati dalam pelbagai jenis hidangan, daripada rebusan hingga stik,” kata pekerja Soba Goro kepada Mainichi. – Agensi