KUANTAN – Polis Kuantan meminta saksi yang melihat kes kemalangan jalan raya yang melibatkan seorang remaja berusia 17 tahun di Pantai Sepat pada Ahad lalu untuk tampil membantu siasatan.
Ketua polis Daerah Kuantan, Asisten Komisoner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, mangsa yang parah dalam kemalangan pada 2 April lalu kini menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tengku Ampuan Afazan (HTAA).
“Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik (BSPTD) IPD Kuantan telah menerima maklumat pada jam 1.45 pagi semalam berhubung satu kemalangan jalan raya yang berlaku pada jam lebih kurang 6 petang di jalan Pantai Sepat, Kuantan Pahang.
“Nahas terbabit melibatkan 17 tahun dipercayai telah hilang kawalan dan terbabas sendiri. Satu kertas siasatan telah dibuka oleh BSPTD IPD Kuantan di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya dalam kenyataan di sini.
Mana-mana pihak yang melihat atau mempunyai maklumat mengenai kejadian tersebut diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat Trafik, Sarjan Ibrahim Abd Rahman di talian 09- 5156111 atau 017-9070762.
Jelas Wan Zahari, semasa kejadian pihak BSPTD sedang melakukan operasi motosikal di KM 17, Jalan Pantai Sepat dan kemalangan berlaku dalam jarak 2 kilometer dari lokasi polis.
Menurutnya, mangsa kemalangan tidak melalui kawasan operasi yang dijalankan oleh BSPTD dan operasi yang dijalankan tamat pada jam 6.30 petang tanpa sebarang insiden. – MalaysiaGazette
















