Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kerajaan mengenakan cukai ke atas vape kerana penggunaannya yang meluas dalam kalangan rakyat.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelaksanaan cukai tersebut bakal menyebabkan produk tersebut tidak murah seperti sekarang sekali gus menyukarkan pembeliannya.

Beliau menjawab soalan Datuk Ahmad Yunus Hairi (Kuala Langat-PN) di Dewan Rakyat semasa Waktu Pertanyaan Perdana Menteri.

Ahmad Yunus mempersoalkan tindakan kerajaan mengenakan cukai ke atas vape sekali gus mengeluarkan bahan nikotin daripada senarai akta racun.

“Walaupun saya bukan doktor saya faham keluhan YB Kuala Langat. Ada kebenaran dan kewajaran.

“Namun mengharamkan vape atau merokok itu agak extrem dan drastik serta tidak mampu dilakukan oleh mana-mana negara di dunia kerana ramai yang memilih untuk merokok.

“Kita teruskan percukaian ini sekadar untuk tidak menjadikan bahan itu tersebar luas dan murah. Saya setuju badan kesihatan, profesional termasuk doktor di rumah menentang keras soal ini,” kata Anwar.

Sementara itu Anwar berkata, bantahan daripada rami ahli Parlimen menyebabkan pembentangan Rang Undang-undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 ditunda.

Bagamanapun beliau berkata, RUU tersebut tetap akan dibentangkan pada Mei ini.

“Pada prinsip kita akan terus membentangkan RUU ini, tapi tidak boleh dilakukan kerana pada peringkat awal kita setuju disekalikan RUU merokok dan cukai vape.

“Tetapi kerana banyak bantahan kita mencadangkan kepada menteri kesihatan runding semula dengan ahli Parlimen dengan teliti dan badan kesihatan dengan maksud melaksanakan tahun ini.

“Supaya ada persefahaman dalam berapa peruntukan terutama tentang hukuman yang dianggap terlalu keras. Tapi saya rasa wajar beri kepada ahli parlimen berbincang,” kata Anwar.

Sementara itu, Anwar berkata, beliau akan meneliti cadangan agar 50 peratus pendapatan daripada cukai rokok diberikan kepada Kementerian Kesihatan (KKM).

Kerajaan sebelum ini memutuskan untuk memberikan 50 peratus pendapatan cukai berkaitan industri vape kepada KKM.-MalaysiaGazette