CALIFORNIA – Virgin Orbit, syarikat roket milik jutawan British, Richard Branson, telah memfailkan muflis di Amerika Syarikat (AS) selepas gagal mendapatkan pelaburan baharu.
Syarikat pelancar satelit itu telah menghentikan operasi beberapa minggu lalu.
Namun, syarikat itu masih menaruh harapan untuk mencari pembeli untuk perniagaan itu.
Syarikat yang berpangkalan di California, mengumumkan minggu lepas bahawa ia akan mengurangkan 85% daripada 750 tenaga kerjanya.
Awal tahun ini, roket Virgin Orbit gagal melengkapkan pelancaran satelit pertamanya dari United Kingdom.
Ketua Pegawai Eksekutif Virgin Orbit, Dan Hart berkata, walaupun syarikat itu telah “mengambil usaha yang hebat” untuk menangani masalah kewangannya dan mendapatkan lebih banyak pembiayaan, “kita akhirnya mesti melakukan yang terbaik untuk perniagaan.”
Beliau berkata, Virgin Orbit kini akan menumpukan usaha mencari pembeli untuk perniagaan itu “untuk memberikan kejelasan masa depan syarikat kepada pelanggan, vendor dan pekerjanya”.
Virgin Orbit diasaskan pada 2017 dan merupakan syarikat yang diubah daripada syarikat pelancongan angkasa lepas Sir Richard, Virgin Galactic.
Ia melancarkan roket dari bawah pesawat Boeing 747 yang diubah suai untuk menghantar satelit ke angkasa lepas.
Tetapi pada bulan Januari, percubaan untuk menghantar satelit ke orbit dari UK buat kali pertama gagal kerana penapis bahan api roket telah tercabut, menyebabkan salah satu enjin menjadi terlalu panas.
















