MoU ini ditandatangani oleh Mizan Masram, Ketua Pegawai Perniagaan Kumpulan – Runcit, Kumpulan Bank Islam dan Bumitra diwakili oleh AB Rahman Mohd Ali, Setiausaha Agong Kehormatnya.

KUALA LUMPUR – Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) memeterai memorandum persefahaman (MoU) bersama Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (Bumitra) bagi menyediakan penyelesaian kewangan untuk bakal jemaah haji yang ingin mengambil pakej haji melalui 22 syarikat Pengelola Jemaah Haji (PJH) lantikan Lembaga Tabung Haji (TH) yang juga merupakan ahli Bumitra.

MoU ini bertujuan untuk melaksanakan kerjasama dan sesi perkongsian ilmu bagi mendidik pelanggan Bumitra mengenai penyelesaian kewangan yang disediakan oleh Bank Islam, terutamanya untuk haji dan umrah.

Bidang kerjasama ini juga merangkumi usaha untuk membantu penyebaran maklumat mengenai kemudahan dan perkhidmatan yang ditawarkan.

Antara perkhidmatan yang ditawarkan adalah Kad Debit-i Bank Islam Visa Tabung Haji.

Kad debit ini dilengkapi dengan pelbagai keistimewaan dan ganjaran eksklusif untuk para pemegang kad, selain menawarkan rangkaian pembayaran dan akses tunai yang meluas di seluruh dunia, kad ini juga memudahkan urusan transaksi kewangan bagi jemaah haji ketika berada di Arab Saudi, ini termasuk tiada caj akan dikenakan bagi pengeluaran tunai pada musim haji.

Di majlis tersebut, Bank Islam turut melancarkan kempen, ‘Once in a Lifetime’, khas kepada bakal haji atau waris terdekat yang ingin membantu ibu bapa untuk menunaikan haji dengan memohon pembiayaan peribadi ini dengan jumlah minimum sebanyak RM50,000.

Kempen yang berlangsung dari 24 Mac sehingga 31 Mei 2023 ini menawarkan peluang memenangi hadiah pakej umrah.

Penyediaan pakej pembiayaan peribadi ini memberi peluang kepada bakal haji yang berkemampuan dan berupaya untuk membayar balik pembiayaan secara berstruktur
mengikut kemampuan kewangan masing-masing.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Islam Mohd Muazzam Mohamed berkata, memandangkan kos pakej haji kian meningkat disebabkan faktor luar kawalan, pembiayaan peribadi yang ditawarkan ini adalah tepat pada masanya untuk membolehkan lebih ramai lagi umat Islam yang berkemampuan menunaikan rukun Islam kelima.

“Sementara itu, peranan Bank Islam tidak hanya terhad sebagai hab-solusi kewangan bagi jemaah haji semata-mata tetapi akan diperluaskan dengan menyeluruh kepada lebih 600 syarikat pelancongan yang berdaftar di bawah BUMITRA dan pelanggan- pelanggannya,” tambahnya.

Selain daripada produk Pembiayaan Peribadi dan Kad Debit-i Bank Islam Visa Tabung Haji, Bank Islam sebagai hab solusi kewangan bagi jemaah haji juga menawarkan produk-produk lain seperti, akaun pelaburan Al-Awfar, kad kredit-i, produk perlindungan takaful, penulisan wasiat, kemudahan perbankan atas talian dan mudah alih serta
tukaran mata wang asing di kaunter ‘Bureau de Change’ Bank Islam.

Dengan adanya manfaat-manfaat ini, ia seiring dengan aspirasi Bank Islam iaitu ‘Urusan Dipermudah, Lebih Tenang Beribadah’. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast