Seorang pengarah syarikat tidak mengaku bersalah memberi rasuah sebanyak RM500,000 kepada seorang Datuk bagi faedah seorang bekas menteri Kabinet bagi mempercepatkan proses pengambilalihan pengurusan dan pentadbiran konsesi Menara Kuala Lumpur pada tahun lalu di Mahkamah Sesyen di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di Mahkamah Tinggi, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 05 APRIL 2023.

KUALA LUMPUR – Seorang pengarah syarikat tidak mengaku bersalah memberi rasuah sebanyak RM500,000 setahun selama tempoh 15 tahun kepada seorang individu bergelar Datuk bagi faedah seorang bekas menteri Kabinet pada tahun lalu.

Datuk Abdul Hamid Shaikh Abdul Razak Shaikh,49, didakwa memberi rasuah itu kepada Datuk Tan Ser Lay bagi faedah Tan Sri Annuar Musa yang merupakan Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia ketika itu.

Ia bertujuan bagi Annuar mempercepatkan proses pengambilalihan pengurusan dan pentadbiran konsesi Menara Kuala Lumpur oleh syarikat Hydroshoppe Sdn. Bhd. yang mana Abdul Hamid Shaikh adalah seorang pengarah di dalam syarikat tersebut.

Abdul Hamid Shaikh didakwa melakukan perbuatan itu antara bulan Julai dan Ogos tahun di Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Putrajaya mengikut Seksyen 16(b)(B) Akta SPRM 2009.

Bagi pertuduhan, dia boleh dihukum mengikut Seksyen 16(b)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) yang membawa hukuman penjara maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali ganda jumlah nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Hakim Suzana Hussain membenarkan tertuduh diikat jamin RM50,000 dan meminta Abdul Hamid Shaikh melaporkan dirinya ke ibu pejabat SPRM di Kuala Lumpur dua bulan sekali bermula Mei tahun ini sehingga perbicaraan selesai.

Dia juga diminta untuk menyerahkan pasportnya kepada mahkamah di mana sebutan semula kes ditetapkan 2 Jun ini.

Sementara itu, di mahkamah berasingan, syarikat Hydroshoppe Sdn. Bhd. di mana Abdul Hamid Shaikh adalah seorang bersekutu turut didakwa melakukan suatu kesalahan ldi bawah seksyen 17A(1)(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 17A(2) akta yang sama.

Sebagai organisasi komersial, Hydroshoppe melakukan kesalahan itu di antara Julai dan Ogos lalu di Kementerian Komunikasi dan Multimedia di Putrajaya.

Syarikat itu melakukan perbuatan tersebut menerusi sekutunya, Abdul Hamid Shaikh menerusi kesalahan sama menerusi pertuduhan pertama ke atas beliau sebelum itu.

Sabit kesalahan, Hydroshoppe boleh denda tidak kurang 10 kali ganda daripada nilai suapan atau RM1 juta, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, atau dipenjara sehingga 20 tahun, atau kedua-duanya sekali.

Pertuduhan itu dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Rozina Ayob.

Pada 23 Februari lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, mengesahkan siasatan kes pembelian saham dan isu pengambilalihan pengurusan Menara KL selesai dijalankan serta kertas siasatan sudah dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara.

Pada 7 Januari lalu, dua pengarah kanan syarikat bergelar Datuk direman empat hari bagi membantu siasatan kes pembelian saham dan isu pengambilalihan pengurusan Menara KL.

Perintah reman terhadap individu masing-masing berusia 49 dan 59 tahun itu dikeluarkan Majistret, Irza Zulaikha Rohanuddin, selepas permohonan dikemukakan SPRM.

Penahanan itu membabitkan seorang pengarah urusan syarikat didakwa terbabit mengambil alih saham Syarikat Menara KL, manakala seorang lagi ialah ahli perniagaan dipercayai menjadi ‘orang tengah’ dalam urusan pengambilalihan syarikat berkenaan.

Hasil siasatan mendapati antara habuan ialah wang rasuah ratusan ribu ringgit dan seutas jam tangan mewah dikatakan sebagai hadiah kepada ‘orang atasan’ untuk membantu pengambilalihan itu.Beberapa saksi termasuk pegawai kanan Telekom Malaysia (TM), Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS), Kementerian Komunikasi dan Digital serta syarikat tertentu sudah diambil kenyataan bagi membantu siasatan.

Isu pengambilalihan pengurusan Menara KL tular dalam media sosial apabila orang ramai mempersoalkan keputusan TM menerusi anak syarikatnya, Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd, memindahkan pemilikan penuh mereka kepada syarikat Hydroshoppe Sdn Bhd, Oktober lalu.

Satu akaun Twitter dikenali sebagai @FreeMsian mendakwa Menara KL yang menjana pendapatan RM66 juta pada 2019 dengan untung bersih RM25 juta itu sebagai cash cow dan pemindahan saham itu tidak dihebahkan kepada umum. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast