KUANTAN – Polis mengesahkan telah menerima sebanyak dua laporan setakat ini berhubung insiden membaling batu ke arah kenderaan di Jalan Mempaga, Lurah Bilut dekat Bentong.
Ketua Polis Bentong, Superintendan Mohd Zaiham Mohd Kahar berkata, pihaknya kini bertindak atas maklumat dan sedang memburu suspek yang melakukan kegiatan khianat itu.
“Pihak polis bekerjasama dengan penduduk setempat di Felda Mempaga dan penduduk kampung Rancangan Tanah Pemuda (RTP) Lebu untuk membuat rondaan serta pemantauan bagi mengesan suspek.
“Semua pihak diminta agar berhati-hati semasa memandu di jalan tersebut,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Semalam tular beberapa gambar dan rakaman video di laman sesawang Facebook Kami Penduduk Bentong (Official) berkaitan insiden membaling batu ke arah kenderaan di Jalan Mempaga di Lurah Bilut, Bentong, Pahang.
Justeru Mohd Zaiham mohon kerjasama orang ramai sekiranya mempunyai maklumat berkaitan insiden tersebut dengan menghubungi Pusat Kawalan Daerah IPD Bentong di talian 09- 2222222 atau mana-mana balai polis berdekatan. – MalaysiaGazette