Lee Chean Chung.- Foto MUHD NA’IM, 01 NOVEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan diingatkan supaya tidak mempertahankan pimpinan Perikatan Nasional (PN) secara semberono  apabila mendakwa ketua-ketua parti tidak diberikan ruang bertanyakan soalan semasa sesi Pertanyaan Perdana Menteri (PMQ) di Dewan Rakyat.

Sebaliknya Pengarah Komunikasi PKR, Lee Chean Chung berkata, kepimpinan tertinggi daripada parti pembangkang tidak pernah mengemukakan soalan dalam sesi berkenaan.

Mereka yang dimaksudkan adalah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin, Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden Pas, Tan Sri Abdul  Hadi Awang.

“Sebagai pimpinan parti kanan, lazimnya soalan mereka akan diberikaan keutamaan oleh Yang diPertua Dewan Rakyat sekiranya mereka kemukakan soalan.

“Memang benar, semakan penyata rasmi mendapati bahawa ketiga-tiga pimpinan PN ini tidak pernah mengemukakan soalan dalam slot PMQ dalam sidang Parlimen penggal ini… Saya menasihati Wan Saiful supaya jangan membabi buta mempertahankan pimpinan tanpa mencermikan diri,” katanya menerusi kenyataan.

Katanya, langkah kerajaan mewujudkan sesi PMQ untuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjawab soalan secara langsung tidak pernah dipraktikkan sebelum ini.

Justeru Ahli Parlimen Petaling Jaya itu menyifatkan  tidak wajar PN mempertikaikan sesi berkenaan.

“Langkah ini tidak pernah dilakukan oleh mana-mana kerajaan terdahulu termasuk kerajaan PN. Rakyat juga tidak terlupa bagaimana persidangan Parlimen ditutup oleh kerajaan PN walaupun negara kita sudah dalam proses pemulihan Covid-19,” tambahnya.

Semalam, Wan Saiful berkata, Ketua Pembangkang atau ketua parti tidak boleh turut serta dalam sesi waktu PMQ di Dewan Rakyat.

Katanya, hanya ahli Parlimen disebut speaker Dewan Rakyat sahaja yang boleh bertanya soalan manakala satu soalan tambahan daripada penyoal asal,serta satu lagi soalan tambahan daripada pihak lain semasa sesi itu.

Beliau turut mendakwa Anwar banyak mengelak daripada memberikan jawapan penuh.- MalaysiaGazette