Foto: JBPM

IPOH – Dua lelaki warga Bangladesh yang mengendalikan jengkaut maut selepas jentera itu terbalik dipercayai akibat berlaku penggelongsoran tanah semasa menjalankan kerja di kawasan tapak kuari di Simpang Pulai, di sini, malam tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian membabitkan kedua-dua mangsa yang berusia lingkungan 30 hingga 40-an itu pada kira-kira 8.17 malam.

“Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Simpang Pulai yang tiba di tempat kejadian membuat kerja mengeluarkan mangsa-mangsa terperangkap menggunakan peralatan khas dan bantuan jengkaut pihak kilang berkenaan,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Beliau berkata, mayat kedua-dua mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi tamat pada 9.55 malam.

Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Yahaya Hassan berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini untuk bedah siasat dan pihaknya sedang mengenal pasti identiti mereka yang terlibat. – Bernama