KUALA LUMPUR – Sibu, Sarawak telah muncul sebagai destinasi dengan kadar penginapan yang paling kompetitif bulan ini.
Dapatan ini dibuat Agoda yang menganalisis data destinasi pelancongan termurah.
Menurutnya, Sibu adalah destinasi pelancongan yang paling berpatutan, dengan kadar purata bilik RM136 (AS$34).
Turut tersenarai di kedudukan lima teratas di Malaysia adalah Alor Setar, Kuala Terengganu, Kota Bharu dan Taiping.
Destinasi dengan kadar purata penginapan termurah di seluruh rantau Asia Pasifik ialah Khon Kaen di Thailand; Sibu di Malaysia; Surakarta di Indonesia, Puri di India; Bacolod di Filipina, Ninh Binh di Vietnam dan Chiba di Jepun, Gwangju di Korea Selatan, Kepulauan Kinmen di Taiwan, dan Brisbane di Australia.
“Dalam menelusuri tahun 2023 dan cuti umum yang bakal menjelang di pelbagai rantau, ramai di antara kami sedang merancang masa rehat yang sewajarnya,” kata Cleland Robertson,
Pengarah Perkhidmatan Rakan Kongsi Malaysia dan Brunei Agoda itu menambah, tetapi pada masa yang sama, dengan kos sara hidup yang tinggi di seluruh dunia,, semua pihak cuba untuk menjadi lebih bijak dalam menguruskan perbelanjaan.
“Saya berharap penemuan tinjauan Agoda ini dapat membantu para pelancong menemui beberapa destinasi menarik dan menjimatkan kos dalam percutian yang dirancang,” ujarnya.
Walaupun destinasi pelancongan yang disenaraikan merupakan destinasi dengan harga termurah, lokasi-lokasi yang dikaji ini mempunyai banyak tawaran yang menanti para pelancong dan tidak kurang juga tarikan yang tersembunyi.
Contohnya, pantai yang meriah, taman tema yang mengujakan, tempat kerohanian yang suci dan pusat tumpuan penggemar makanan. – MalaysiaGazette