Pemilik kelab komedi Crackhouse, Mohamad Rizal Johan Van Geyzel bersama peguamnya M. Pravin berjalan keluar dari mahkamah selepas keputusan representasi dikemukakannya bagi menggugurkan tiga pertuduhan membuat dan memulakan hantaran video yang menyentuh sensitiviti kaum dalam aplikasi media sosial yang dihadapi di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 06 APRIL 2023.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen, di sini, menetapkan 31 Mei depan bagi keputusan representasi kedua pengasas dan pemilik bersama Crackhouse Comedy Club, Rizal Van Geyzel yang memohon untuk menggugurkan pertuduhan dihadapinya.

Hakim Mahkamah Sesyen, N. Priscilla hari ini turut menetapkan tarikh bicara 1 dan 2 Jun andainya representasi itu ditolak Jabatan Peguam Negara (AGC).

Hari ini merupakan sebutan kes untuk pemfailan pernyataan saksi namun Rizal memohon representasi kedua.

Difahamkan representasi kedua mempunyai perkembangan baharu dalam usaha pihak pembelaan menggugurkan kes tersebut.

Ketika prosiding hari ini, Timbalan Pendakwa Raya, Noor Aslinda Che Seman memberitahu mahkamah pihaknya menerima surat representasi kedua hari ini dan memohon tempoh sebulan untuk tindakan susulan.

Dalam pada itu, peguam bela Rizal, M Pravin memohon mahkamah supaya pasport antarabangsa anak guamnya dikembalikan bagi membolehkan beliau menunaikan umrah antara 15 dan 30 Mei ini.

Hakim kemudian melapangkan tarikh perbicaraan pada 14 April dan 2,3 serta 22 Mei sementara menunggu keputusan representasi.

Rizal berdepan dakwaan membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

Perbuatan itu didakwa dilakukan melalui aplikasi Facebook menggunakan nama profil ‘Rizal van Geyzel, Instagram ‘rizalvangeyzel’ dan TikTok ‘rizalvangeyzel’ di antara 4 dan 6 Julai 2022.

Ketiga-tiga hantaran itu kemudian dibaca di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Tingkat 27, Menara KPJ di sini, pukul 1.17 petang, 13 Julai 2022.

Ketiga-tiga pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 233(1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama.

Seksyen itu membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya dan boleh didenda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan, jika disabitkan kesalahan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast