KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad didakwa tidak menghiraukan syor Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) untuk melantik Datuk Abdul Rahman Sebli sebagai Hakim Besar Sabah dan Sarawak pada 2018.
Penganalis politik, Lim Sian See mendakwa, Dr. Mahathir berbuat demikian atas nasihat Peguam Negara ketika itu, Tan Sri Tommy Thomas sekali gus melanggar Akta JAC 2009.
Menurut beliau, Datuk David Wong Dak Wah seterusnya dilantik sebagai Hakim Besar Sabah dan Sarawak pada Jun 2018, bukannya Abdul Rahman seperti yang disyorkan JAC.
“Selepas dinafikan hak selama lima tahun biarpun beliau antara Hakim Mahkamah Persekutuan paling kanan, Hakim Abdul Rahman hanya dilantik sebagai Hakim Besar Sabah dan Sarawak pada awal tahun ini selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15),” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.
Laporan siasatan Pasukan Petugas Khas mengenai dakwaan salah laku Tommy yang didedahkan secara terbuka Oktober lalu membongkarkan bahawa bekas Peguam Negara itu dan Dr. Mahathir telah berulang kali melanggar Akta JAC 2009 dalam proses lantikan hakim-hakim kanan.
Abdul Rahman kini menjadi tumpuan kerana beliau merupakan satu-satunya hakim yang membuat penghakiman berbeza menentang keputusan majoriti yang menolak permohonan semakan kehakiman kes SRC International oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Mahkamah Persekutuan pada 31 Mac lalu.
Lima panel hakim yang bersidang dipengerusikan oleh Abdul Rahman dan turut disertai Datuk Vernon Ong Lam Kiat, Datuk Rhodzariah Bujang dan Datuk Nordin Hassan termasuk Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Abu Bakar Jais menolak semakan tersebut dengan keputusan 4-1.
Dalam penghakimannya, Abdul Rahman berkata: “Keadilan bukan sahaja mengenai rasa bersalah atau tidak bersalah seseorang yang dituduh, beliau juga mesti mempunyai perbicaraan yang adil. Beliau juga mesti merasakan dia mempunyai perbicaraan yang adil. Jika sistem itu tidak mampu, beliau tidak patut dibicarakan sama sekali.” – MalaysiaGazette