KUALA LUMPUR – Tamu Hotel & Suites Kuala Lumpur merupakan hotel pertama di negara ini yang menyertai inisiatif payung Rahmah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) setakat ini.

Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, Tamu antara hotel yang terawal menerima pelawaan KPDN untuk melaksanakan inisiatif ini selepas beberapa siri perbincangan dengan pihaknya.

“Kita telah mengadakan libat urus dan kebetulan kita banyak kali mengadakan pertemuan, saya dengan Datuk Khay ini kawan, Tan Sri Zabidi pun kawan lama.

“Kebetulan Ramadan ini kita mengatakan bahawa KPDN ada inisiatif payung Rahmah.

“Alhamdulillah Datuk Khay telah sudi menerima inisiatif ini dan pada hari ini menjadi satu kenyataan bahawa ada pakej Ramadan Rahmah di hotel ini,” katanya pada sidang media di Tamu Hotel & Suites Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Terdahulu beliau menyempurnakan Majlis Pelancaran Pakej Rahmah bersama Tamu Hotel & Suites Kuala Lumpur.

Hadir sama Ketua Setiausaha KPDN, Datuk Azman Mohd Yusof dan Pengarah Urusan Kumpulan Zikay, Datuk Mohd Khay Ibrahim.

Pelaksanaan Inisiatif Payung Rahmah di Tamu Hotel & Suites Kuala Lumpur merangkumi pakej penginapan dua hari satu malam di Bilik Standard termasuk sahur dan iftar untuk dua orang pada harga RM250 sahaja.

Lebih 45 jenis pilihan hidangan bakal disajikan kepada para pengunjung yang membeli Pakej Rahmah bersama Tamu Hotel & Suites Kuala Lumpur.

Lokasi Bufet Pakej Rahmah bersama Tamu Hotel & Suites Kuala Lumpur di Restoran Tamu Junction Place, Di Aras Lobi bermula pada jam 6.30 petang sehingga tamat waktu berbuka iaitu pada jam 9.30 malam.

Salahuddin juga berkata, inisiatif ini sebagai salah satu tawaran yang sangat berbaloi untuk dinikmati oleh setiap lapisan golongan masyarakat bukan sahaja tertumpu pada golongan B40 sahaja.

“Kalau harga standard bagi Bufet Ramadan di hotel ini RM169 bagi satu kepala, bilik pula lebih RM450 sehari.

“Tapi dengan pakej ini, hanya RM250 sahaja, ini sangat berbaloi, sambil bercuti dan membeli-belah, boleh menginap di sini dengan harga Rahmah siap pakej berbuka puasa dan sahur,” katanya.

Katanya lagi, KPDN sentiasa menyokong usaha yang dilaksanakan oleh industri sektor perkhidmatan khususnya hospitaliti di negara ini untuk menggalakan rakyat Malaysia berbelanja dengan berpatutan menjelang musim perayaan.

“Pengguna juga dapat merasai menginap di hotel bertaraf empat bintang dan menikmati menu iftar dengan harga yang berpatutan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast