KUALA LUMPUR – Keganasan terbaharu rejim Zionis Israel di Masjid Al-Aqsa seharusnya menyedarkan umat Islam dan para pemimpin mereka supaya bangkit semula dengan penuh kesedaran dan keinsafan.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, tindakan polis rejim Zionis dan sekumpulan pelampau Yahudi menyerang jemaah yang sedang beriktikaf serta merosakkan barang-barang di dalam masjid merupakan pencerobohan yang nyata dan kezaliman yang melampau.
Menurut beliau, kedudukan Masjid Al-Aqsa yang mulia mewajibkan umat Islam agar mempertahankan dan membebaskannya.
“Ia merupakan suatu kewajipan yang dibebankan kepada kerajaan dan rakyat yang beragama Islam.
“Walaupun ramai dalam kalangan mereka itu leka, namun kewajipan tetap dibebankan ke atas mereka, bermula dengan penduduk Masjid Al-Aqsa yang berjiran di sekelilingnya sehinggalah umat Islam di seluruh penjuru dunia,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Media antarabangsa melaporkan, serangan terbaharu rejim Zionis Israel di Masjid Al-Aqsa semalam menyebabkan sekurang-kurangnya 12 rakyat Palestin cedera manakala lebih 400 orang ditahan.
Menurut saksi, polis rejim Zionis menggunakan kekerasan melampau termasuk bom tangan pegun dan gas pemedih mata serta memukul rakyat Palestin yang beribadat dengan baton dan rifel.
Ahli Parlimen Marang itu juga meminta umat Islam agar memahami permainan politik menipu dan menangguh-nangguhkan dengan pujukan atas nama perdamaian dan penyelesaian dua negara.
Pada masa yang sama, Abdul Hadi berkata, negara haram Zionis tidak menerimanya, sedangkan negara-negara Arab dan Islam dipaksa menerimanya dengan pelbagai janji bohong dan tekanan yang zalim.
Beliau menambah, keganasan terhadap rakyat Palestin terus-menerus dilakukan dan semakin memuncak dengan kedatangan pendatang Yahudi, penubuhan pasukan khas dan bantuan senjata yang mencurah daripada negara-negara di bawah pengaruh Zionis.
“Jangan dilupakan bahawa cita-cita pelampau Yahudi tetap mahu merobohkan Masjid Al-Aqsa supaya digantikan dengan Haikal Sulaiman.
“Perjuangan yang tidak dinafikan oleh mereka juga ke arah menubuhkan Negara Agung Israel yang paling berkuasa di dunia,” jelasnya.
Maka, Abdul Hadi memberitahu, umat Islam tidak seharusnya terus ditipu dan dipermainkan dengan hina kerana jahil terhadap agama sendiri dan jahil juga berkenaan agenda musuh. – MalaysiaGazette