Hannah Yeoh bersama Stuart Ramalingam pada sidang media di Menara Kementerian Belia dan Sukan di Putrajaya.

PUTRAJAYA – Seramai 15 atlet akan membawa cabaran untuk meraih pingat emas pertama Sukan Olimpik negara.

Datuk Mohd Azizulhasni Awang dari sukan berbasikal yang dilihat berpotensi besar untuk melakukannya pada edisi sebelum ini berada dalam senarai Jawatankuasa Road to Gold (RTG) dengan sukan badminton mendominasi senarai tersebut disusuli sukan akuatik terjun.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, tiga sukan itu terbukti cemerlang di peringkat antarabangsa dan berjaya meletakkan atlet negara pada kedudukan terbaik dunia.

“Kesemua atlet itu dikenalpasti berpotensi memenangi pingat emas temasya Sukan Olimpik Paris 2024 berdasarkan dua kriteria pemilihan iaitu pemenang pingat Sukan Olimpik Tokyo 2020, tersenarai dalam rangking 10 terbaik dunia,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Tambah beliau, selain itu pemilihan atlet dalam senarai tersebut turut mengambil kira peningkatan prestasi atlet namun senarai tersebut dijangka berubah apabila kejohanan-kejohanan kelayakan Sukan Olimpik Paris 2024 berlangsung.

Hannah Yeoh mempengerusikan mesyuarat pertama Jawatankuasa Road to Gold bersidang semalam di Kementerian Belia dan Sukan.Sementara itu, Hannah berkata, Jawatankuasa RTG mengadakan mesyuarat pertamanya semalam di Kementerian Belia dan Sukan.

Jelas beliau, jawatankuasa tersebut memutuskan beberapa perkara iaitu penubuhan sekretariat RTG yang akan dipimpin oleh Penyelaras Projek RTG, Stuart Ramalingam selain penambahan dua pembantu teknikal yang terdiri daripada Datuk Dr. Ramlan Aziz dan Josiah Ng.

Dalam pada itu, Hannah memberitahu, Stuart dan bekas atlet negara yang terdiri daripada Datuk Nicol David, Datuk Lee Chong Wei dan Datuk Mirnawan Nawawi akan bertemu kesemua 15 atlet RTG dan jurulatih mereka dalam tempoh sebulan bagi mengetahui keperluan mereka.

“Anggaran perbelanjaan program RTG hanya boleh ditentukan selepas jawatankuasa RTG mengadakan pertemuan bersama kesemua 15 atlet RTG berkenaan dan akan diumumkan hasilnya selepas dikemaskini serta dipersetujui oleh Jawatankuasa RTG,” ujarnya.

Berikut senarai 15 atlet Road to Gold (RTG):

1. Datuk Mohd Azizulhasni Awang (basikal)
2. Muhammad Shah Firdaus Sahrom (basikal)
3. Lee Zii Jia (badminton)
4. Aaron Chia-Soh Wooi Yik (badminton)
5. Ong Yew Sin-Teo Ee Yi (badminton)
6. Perly Tan-M.Thinaah (badminton)
7. Tan Kian Meng-Lai Pei Jing (badminton)
8. Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie (badminton)
9. Datuk Pandelela Rinong Pamg dan Nor Dhabitah Sabri (akuatik terjun) – MalaysiaGazette