fatwa
Zaid Ibrahim

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Azalina Othman Said tidak boleh dipersalahkan dalam tindakannya mendedahkan kandungan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Hakim Datuk Mohd Nazlan Ghazali.

Begitu juga, pihak tertentu tidak wajar memarahi Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki kerana memberi laporan siasatan terhadap hakim itu kepada Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat.

Sebaliknya, menurut pandangan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim ada beberapa kemungkinan yang membelenggu kedua mereka untuk menyampaikan laporan salah laku Hakim Mohd Nazlan untuk tindakan lanjut pihak berkaitan.

“Semalam, ada beberapa orang marah pada Azalina. Mereka kata, Menteri Undang-Undang di Jabatan Perdana Menteri itu tidak patut dedahkan mengenai laporan SPRM terhadap Hakim Mohd Nazlan.

“Sebenarnya, Azalina sudah beritahu pun siasatan SPRM sebelum ini bahawa laporan itu diberi kepada Ketua Hakim Negara. Apa salahnya, kenapa marah kepada dia. Dia pelapor saja.

“Begitu juga orang yang marah pada Azam, kenapa marah dia pula. Dia buat kerja dia. Ada orang buat laporan, dia buat siasatan dan hasil siasatan itu diberi kepada Ketua Hakim Negara,” katanya menerusi hantaran Facebooknya, hari ini.

Menurutnya, pandangan dan cadangan Azam ialah meminta Ketua Hakim Negara siasat perkara ini, kemungkinan (ada) melanggar kod etika hakim.

“Itu saja cadangan dia. Kenapa marahkan dia. Dan ada orang kata Azam tak patut tulis surat kepada Ketua Hakim Negara. Janganlah teknikal sangat. Kalau silap protokol pun, itu perkara kecil. Lagi pun siapa yang tahu protokol itu.

“Kerja Azam buat laporan, buat siasatan, tetapi terpulang kepada Ketua Hakim Negara nak buat siasatan lanjut atau nak kemukakan kepada etika kehakiman. Itu terpulang kepada beliaulah. Kenapa marah (Azam) pula.

“Lagipun Azam mungkin menulis surat itu kepada Ketua Hakim Negara sebab mungkin Peguam Negara tak nak terima surat itu. Saya pun tak tahulah. Itu hanya kemungkinan saja, atau mungkin juga Peguam Negara kata beri terus kepada Ketua Hakim Negara. Mungkin juga,” katanya.

Zaid menambah, ada kemungkinan juga Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mintanya beri terus kepada Ketua Hakim Negara.

“Mungkin juga. Ini semua kemungkinan. Jadi, kita kena tanya kerajaanlah kenapa Azam tulis surat kepada Ketua Hakim Negara.

“Yang penting bukan marah kepada pelapor itu, yang penting ialah mesej itu. Apakah berita yang dibawa oleh Azalina dan Azam. Beritanya ialah mungkin Hakim Mohd Nazlan ada konflik kepentingan. Itu saja.

“Kalau dia ada konflik kepentingan, dia tidak layak menjadi hakim dan menjatuhkan hukuman. Ini dipanggil kesilapan besar keadilan atau kesilapan proses yang boleh membawa kepada keputusan membebaskan yang dipenjara itu,” katanya.

Beliau berkata, kesan kesilapan besar keadilan ini sangat serius, bukannya perkara main-main.

Katanya, jika hakim hendak menghukum seseorang, mereka mesti ikut peraturan dan proses, bukan hukum mengikut hati.

“Kalau kita tergesa-gesa nak hukum Datuk Seri Najib Tun Razak dan penjarakannya, ini satu kesilapan.

“Sebab itu keadilan ini mesti steady, kena cool tidak boleh cepat, tidak boleh marah-marah. Keadilan itu mengambil masa. Perjalanannya panjang,” ujar beliau.

Beliau bagaimanapun, mengucapkan tahniah kepada UMNO kerana difahamkan sedang bekerja kuat untuk merayu kepada Yang di-Pertuan Aging agar memberi pengampunan kepada Najib.

“Ini saya dengarlah. Tak sah pun lagi. Tapi, kalau betul, saya ucapkan tahniahlah. Sebab UMNO adalah parti yang mesti membela, bukan soal Najib, tetapi membela kepincangan dalam sistem perundangan kita.

“Ini wajib, kerana kita tahu kesannya jika kepincangan ini tidak kita hapuskan,” kata beliau. – MalaysiaGazette