Seorang kanak-kanak leka bermain gajetnya ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Masjid Negara, Kuala Lumpur. Gambar arkib

TERDAPAT pelbagai hujah apabila berhadapan persoalan sama ada kanak-kanak harus mempunyai akaun media sosial ataupun tidak. Ada ibubapa berpendapat bahawa media sosial boleh menjadi alat yang berguna untuk kanak-kanak dalam berhubung dengan rakan sebaya mereka dan belajar tentang dunia di sekeliling mereka. Walau bagaimanapun, ada ibubapa yang melahirkan kebimbangan atas kemampuan media sosial dalam mendedahkan kanak-kanak terhadap buli siber, kandungan yang tidak sesuai dan individu tidak dikenali yang berpotensi berbahaya.

Buli siber boleh berlaku dalam pelbagai bentuk, termasuk gangguan, trolling dan penyebaran khabar angin yang mampu memberi kesan negatif juga serius terhadap kesihatan mental dan harga diri kanak-kanak. Ibu bapa harus sedar tentang risiko ini dan berbicara dengan anak mereka tentang cara menggunakan media sosial dengan selamat, termasuk cara mengenali dan bertindak balas terhadap buli siber juga individu yang berbahaya.

Kanak-kanak juga tidak lari dari terdedah dengan kandungan yang tidak sesuai, seperti keganasan atau pornografi sama ada maklumat berbentuk imej, video mahupun animasi walaupun kebanyakan pelantar media sosial mempunyai dasar untuk menghalang kandungan jenis ini daripada dipaparkan dalam suapan pengguna. Oleh itu, ibu bapa
harus proaktif dalam memantau penggunaan media sosial anak-anak mereka, dan mempertimbangkan untuk menggunakan kawalan ibu bapa atau perisian penapisan untuk
mengehadkan pendedahan kanak-kanak kepada kandungan yang tidak sesuai.

Jelas menunjukkan, isu kanak-kanak yang mempunyai akaun media sosial adalah isu yang memerlukan sokongan dan campur tangan pelbagai pihak berkepentingan, termasuk kerajaan, organisasi dan komuniti. Kerajaan boleh mempertimbangkan pelaksanaan sekatan umur untuk akaun media sosial, mengawal selia kandungan dalam talian yang tidak sesuai juga mengadakan kempen kesedaran risiko penggunaan media sosial.

Manakala organisasi pula boleh menyediakan sumber dan alatan yang membantu ibu bapa dan penjaga dalam memantau dan menyelia aktiviti media sosial anak-anak mereka seperti pembangunan panduan keselamatan dalam talian, perisian kawalan ibu bapa selain bekerjasama dengan sekolah untuk menyediakan pendidikan dan latihan tentang keselamatan dalam talian. Di peringkat komuniti pula boleh mempromosikan budaya penggunaan media sosial yang bertanggungjawab seperti menggalakkan perbualan terbuka dan berterusan antara ibubapa dan anak-anak mereka tentang keselamatan dalam talian, memupuk rasa tanggungjawab dan mengamalkan tingkah laku dalam talian yang positif seperti rasa hormat dan empati.

Kesimpulannya, keputusan sama ada membenarkan kanak-kanak memiliki akaun media sosial atau tidak, perlu dibuat dengan teliti dan mengambil kira keselamatan dan kesejahteraan kanak-kanak itu. Ibu bapa harus sedar tentang risiko yang berkaitan dengan penggunaan media sosial dan mengambil langkah yang sewajarnya berdasarkan tahap kematangan kanak-kanak, rasa tanggungjawab, dan keupayaan mengendalikan potensi risiko penggunaan media sosial. Usaha dan kerjasama daripada pelbagai pihak berkepentingan dapat membantu dalam memastikan kanak-kanak iaitu generasi muda berterusan mendapat manfaat daripada banyak aspek positif penggunaan teknologi digital tanpa menjejaskan keselamatan dan kesejahteraan mereka.

Ts. Irma Syarlina Che Ilias
Pensyarah Kanan di Seksyen Teknologi
Kejuruteraan Komputer, Universiti Kuala Lumpur Malaysian Institute of Information
Technology (UniKL MIIT)