JASIN – Ketua Pembangkang Melaka, Dr Yadzil Yaakub menolak pelawaan menyertai blok kerajaan untuk mengukuhkan pentadbiran Kerajaan Perpaduan yang terbentuk buat pertama kali di negeri ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bemban daripada Perikatan Nasional (PN) itu sebaliknya berkata, beliau dan ADUN Sungai Udang, Dr Mohd Aleef Yusof akan terus kekal menjadi blok pembangkang.
“Kami akan terus kekal dengan prinsip akan menjadi pembangkang berwibawa yang menjadi check and balance kepada kerajaan Melaka.
“Bukan soal macam mana kami nak lawan tapi janganlah takut kepada pembangkang yang hanya tinggal berdua,” katanya ketika ditemui pemberita di pejabatnya, di sini, hari ini.
Semalam, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berharap dua ADUN PN itu dapat menyertai Kerajaan Perpaduan yang baharu ditubuhkan di negeri ini sebelum Enakmen Anti Lompat Parti dibentangkan pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Julai depan.
Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka berkata, jika kedua-dua ADUN berkenaan bersetuju menyertai Kerajaan Perpaduan di Melaka, ia bakal mencatat sejarah sebagai negeri pertama sifar pembangkang.
Mengulas lanjut, Dr Yadzil berkata, beliau tidak akan melompat parti walaupun ditawarkan dengan segala kemewahan untuk menyertai kerajaan yang bertentangan dengan pucuk pimpinan parti.
“Saya dipilih oleh rakyat mewakili PN, kalau saya lompat parti semata-mata untuk dapat habuan lumayan, duduk dalam blok kerajaan yang tak selari dengan hala tuju parti, saya rasa itu bukan prinsip saya.
“Adalah lebih baik kekal begini kerana sebagai sebuah pembentukan kerajaan yang sihat, perlu ada pembangkang, sama seperti di peringkat Kerajaan Pusat,” katanya. – MalaysiaGazette