Chang Lih Kang

PUTRAJAYA – Selain Kumpulan Geely, dua buah syarikat automobil dari China iaitu  Harmony Auto Holding dan Kumpulan GAC juga menunjukkan minat unuk melabur di Malaysia.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang berkata, wakil dari kedua-dua syarikat itu akan melawat Malaysia pada Sabtu untuk meneliti ekosistem kereta elektrik di negara ini.

Beliau berkata, pengeluar kereta dari China itu juga akan meneroka kemungkinan untuk bekerjasama dengan syarikat Malaysia.

Menurutnya, Pengerusi Kumpulan Geely iaitu Li Shufu juga akan melawat Malaysia pada tahun ini.

Katanya, lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke China baru-baru ini adalah sangat berhasil termasuk menyaksikan kejayaan DRB-HICOM dan Kumpulan Geely menandatangani memorandum persefahaman untuk melabur dalam Lembah Automotif Teknologi Tinggi (AHTV) di Tanjung Malim, Perak.

“Dalam lawatan Perdana Menteri kali ini, kami menumpu perhatian kepada usaha memacu industri kereta tenaga baharu

“Kami mengalu-alukan semua untuk melabur di AHTV tidak kira melibatkan pembuatan kereta atau pengeluaran peranti,” katanya seperti dipetik Sinchew Daily.

Kata Lih Kang, pelabur yang mendapat kelulusan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri juga layak mendapat insentif pelaburan.

Beliau berkata, lawatan Anwar ke China akan mengubah ekosistem kereta elektrik di Malaysia kerana banyak syarikat mungkin melabur di Malaysia.

“Ekosistem kereta elektrik belum terbentuk di Malaysia dan tidak banyak kereta jenis ini di jalan raya sehinga tidak banyak stesen pengecas yang ada.

“Namun, kadar penggunaan kereta elektrik akan meningkat jika terdapat syarikat yang mendirikan kilang di Malaysia,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast