Orang ramai tidak melepaskan peluang berswafoto dan menikmati pemandangan kapal terbang mendarat ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Foto HAZROL ZAINAL, 03 JUN 2022.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pengangkutan (MOT) melalui Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) telah meluluskan 527 penerbangan tambahan untuk musim perayaan Hari Raya Aidilfitri.

Jumlah tersebut adalah 43 peratus lebih banyak berbanding kapasiti tambahan yang diluluskan pada musim perayaan Hari Raya Aidilfitri tahun lepas.

Mot dalam kenyataan berkata, jumlah itu merupakan tambahan kepada 5,617 penerbangan sedia ada yang telah dijadualkan untuk beroperasi dalam Semenanjung Malaysia.

Tambahan kepada 2,149 penerbangan antara Semenanjung Malaysia dan Sarawak serta 2,033 antara Semenanjung Malaysia dan Sabah.

Sejak awal Mac MOT dan MAVCOM telah mengambil langkah proaktif dan mengalakkan syarikat penerbangan untuk menawarkan harga penerbangan berpatutan.

MAVCOM juga telah meluluskan semua permintaan kapasiti tambahan oleh syarikat penerbangan yang menawarkan tambang tetap ke destinasi-destinasi utama dalam Malaysia.

“Langkah ini bertujuan menampung permintaan yang tinggi. Selari dengan industri penerbangan antarabangsa, penetapan harga tiket biasa adalah berdasarkan mekanisme dinamik di mana pembeli awal boleh mendapat harga terbaik apabila masih banyak lagi tiket belum terjual.

“Namun harga boleh menjadi mahal apabila baki tiket semakin berkurangan di pasaran,” katanya.

Syarikat penerbangan AirAsia dan Batik Air telah mengumumkan tiket penerbangan tambang tetap pada Mac 7 dan Mac 10 lalu.

AirAsia mengumumkan tiket tambang tetap RM199 dari Semanjung ke Kuching, Sibu, Bintulu dan Miri; RM249 dari Semenanjung ke Kota Kinabalu, Sandakan, Tawau bagi tarikh perjalanan 19 hingga 21 April dan 28 hingga 30 April ini.

Batik Air mengumumkan tiket tambang tetap RM299 dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL, Terminal 1 ke Kuching; RM359 dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL, Terminal 1 ke Kota Kinabalu bagi perjalanan 17 April hingga 2 Mei ini.

Malaysia Airlines, Firefly dan MASwings melancarkan 38,000 tiket
tambahan dengan 54 penerbangan tambahan pergi balik ke Kuching, Kota Kinabalu, Tawau, Sandakan, Kota Bharu, Alor Setar, Terengganu, Kuantan, Labuan, Bintulu, Sibu dan Miri.

Firefly juga menambah penerbangan ke Kota Bharu dan Kota
Kinabalu.-MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast