Dr. Zaliha Mustafa

PAPAR – Faktor kekurangan tenaga kerja serta bahan-bahan pembinaan, di samping kemunculan pandemik COVID-19 beberapa tahun lepas, dikenal pasti menjadi punca kelewatan projek menaik taraf Hospital Papar.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, proses naik taraf hospital itu yang bermula pada Mei 2017, kini berada pada tahap 62 peratus, dan ia dijangka akan siap menjelang hujung tahun ini sebelum dapat beroperasi Mac tahun depan.

“Walaupun agak terbelakang sikit daripada jangkaan kita iaitu sepatutnya 70 peratus tetapi kita akan terus menjalankan perbincangan dan pemantauan bersama dengan Jabatan Kerja Raya, kontraktor serta beberapa pihak lain, untuk kita pacu projek ini,” katanya kepada pemberita selepas melawat ke tapak projek naik taraf Hospital Papar di sini hari ini.

Hadir sama Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk James Ratib dan Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Dr Rose Nani Mudin.

Dr Zaliha berkata, selain hospital Papar, dua lagi hospital lain iaitu Hospital Beaufort serta Hospital Sikuati, Kudat telah dikategorikan sebagai ‘projek sakit’ di Sabah dan sedang dipulihkan supaya projek itu dapat berjalan lancar.

Mengulas lanjut, beliau berkata, apabila siap, Hospital Papar itu akan memberi manfaat kepada lebih 100,000 penduduk di daerah sini serta kawasan sekitar bagi mendapatkan rawatan serta perkhidmatan kesihatan yang terbaik dan lebih selesa.

Projek berkenaan telah diluluskan dengan kos RM98.5 juta melibatkan pembinaan wad dengan penambahan 84 katil merangkumi wad pediatrik, wad wanita dan lelaki.

Selain itu perkhidmatan disediakan termasuk kecemasan dan trauma, pengimejan (X-Ray), farmasi satelit, dewan pembedahan dan jabatan serta perkhidmatan lain diperlukan penduduk setempat. – Bernama