KUANTAN – Umat Islam di negara ini diminta menunjukkan solidariti terhadap penduduk Palestin yang ditindas Israel.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, tindakan yang dilakukan oleh rejim Zionis jelas memperlihatkan tindakan tidak berperikemanusiaan serta tidak menghormati hak penduduk Palestin untuk beribadat di Masjid Al-Aqsa lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan.
“Sudah pastinya tindakan Israel ini akan menimbulkan ketegangan di seluruh Palestin serta seluruh umat Islam lebih-lebih lagi Masjid Al-Aqsa merupakan antara tempat suci bagi umat Islam.
“Saya dimaklumkan ketika kejadian, umat Islam Palestin sedang menunaikan solat Tarawih di masjid berkenaan sebelum polis Israel melakukan serangan dengan menggunakan gas pemedih mata dan belantan sehingga menimbulkan kekecohan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Dalam kejadian itu juga hampir 400 orang rakyat Palestin telah ditahan serta ramai lagi yang cedera.
Malah katanya kejadian seperti ini sering kali berlaku ketika pendatang haram Yahudi meraikan perayaan yang dinamakan Pesach (Passover) yang mana mereka dengan biadabnya akan cuba untuk menceroboh masuk ke Masjid Al-Aqsa.
Beliau berkat,a semoga Allah SWT terus memberikan kekuatan serta ketabahan kepada rakyat Palestin dalam menghadapi ancaman serta tindakan biadab rejim Zionis ke atas mereka. – MalaysiaGazette